Jabatan Hutan Selangor sita lembu, kambing banteras ceroboh hutan simpan

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) telah menyita 27 ekor lembu dan 59 ekor kambing serta menahan tiga orang yang terlibat dalam penternakan secara haram dalam hutan simpan Bukit Cherakah kelmarin.

Operasi Penguatkuasaan Bersepadu ini dijalankan bagi menjalankan tindakan penguatkuasaan ke atas pencerobohan di dalam Hutan Simpan Bukit Cherakah iaitu menjalankan aktiviti ternakan lembu dan kambing di dalam hutan simpan berkenaan tanpa kebenaran.

Aktiviti yang dijalankan oleh penceroboh berkenaan didakwa satu kesalahan di bawah Seksyen 32 (1) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Operasi ini turut disertai daripada pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Majlis Bandaraya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) dengan jumlah keanggotaan keseluruhan seramai 200 orang.

“Tindakan yang diambil ini telah membantu menunjukkan tahap keseriusan pihak Kerajaan Negeri dalam menangani isu penerokaan hutan simpan tanpa kebenaran setelah mendapati penceroboh gagal mengosongkan premis setelah notis terakhir diberikan pada Februari 2020 yang lalu,” kata Exco kerajaan negeri, Hee Loy Sian.

Selain tangkapan, tiga infrastruktur iaitu dua kandang lembu/ kambing dan sebuah pondok telah diroboh.

Selain daripada itu, barang-barang kes yang turut disita adalah, enam buah motorsikal, sebuah lori, pum air dan generator.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here