Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyeru kerajaan untuk bekerjasama bagi mencari jalan mewujudkan semula hubungan global dan membuka semula sempadan agar usaha bantuan dapat diteruskan dalam membantu mengekalkan kelangsungan syarikat penerbangan semasa krisis Covid-19.
Ketua Pengarah dan Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac berkata persatuan itu amat kecewa memandangkan banyak kerajaan masih lagi menutup pintu sempadan, menyekat perjalanan dan kuarantin sehingga menjejaskan permintaan perjalanan.
“Melindungi rakyat sudah semestinya menjadi menjadi keutamaan kerajaan tetapi banyak negara yang cuba menangani pandemik global melalui pemencilan dengan berpandangan, penutupan sempadan menjadi satu-satunya penyelesaian.
“Sudah tiba masa untuk kerajaan ini bekerjasama bagi melaksanakan langkah yang akan membolehkan kehidupan ekonomi dan sosial pulih semula sambil mengawal penyebaran virus,” katanya dalam satu kenyataan.
De Juniac berkata tidak ada kerajaan yang mahu membawa masuk virus Covid-19, dan pada masa yang sama, tidak ada negara yang mahu melihat ekonomi dan kesihatan rakyatnya terus terjejas, dan ini terkait pula dengan kadar pengangguran yang tinggi.
Kejayaan dalam menangani krisis ini memerlukan pengurusan risiko yang teliti dengan langkah yang berkesan, katanya.
“Jika dasar kerajaan memberi tumpuan kepada permulaan semula yang selamat, industri penerbangan sudah bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab ini.
“Syarikat penerbangan amat bergantung kepada pengurusan risiko sebagai satu disiplin yang dibangunkan dengan baik dalam usaha memastikan perjalanan yang selamat,” tambahnya.