Berkenan terima mengadap

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi telah berkenan menerima mengadap mantan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud dan Pemerintah ABDB yang baharu dilantik, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat, di Qashr Al-Meezan.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan telah menyerahkan tugasnya kepada Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah kelmarin dalam Upacara Serah Terima Tugas Jawatan Pemerintah ABDB yang telah diadakan di Bolkiah Garison.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan merupakan pemerintah ABDB ke-10 bermula 31 Januari 2018 dan semasa berkhidmat sebagai pemerintah ABDB, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan mengurniakan beliau Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T.).

Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah pula telah dinaikkan pangkat ke jawatan mejar jeneral pada 1 September 2020.

Sebelum pelantikannya sebagai pemerintah ABDB ke-11, beliau juga telah memegang beberapa jawatan penting termasuk pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei ke-14 bermula 15 Ogos 2018 sehingga 28 Ogos 2020; pemerintah angkatan bersama dan ketua staf Markas Angkatan Bersama ABDB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here