Fenomena air pasang besar dengan ketinggian air laut mencecah sehingga 5.8 meter diramal melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor bermula bulan ini hingga November.
Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) dalam kenyataannya memaklumkan, fenomena air pasang besar dijangka berlaku pada tarikh-tarikh tertentu iaitu 19 dan 20 Sep, 17 hingga 19 Okt selain 15 dan 16 Nov.
Menurut kenyataan itu lagi, lima daerah terlibat adalah Klang, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, melibatkan 51 kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi dilanda banjir sekiranya fenomena itu disertai hujan lebat dan angin kencang.
“Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan,” menurut kenyataan itu pada Khamis (3 Sep).
Justeru, bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir, UPBN bersedia untuk membuka 21 pusat pemindahan bagi memindahkan mangsa sekiranya ada.
Antara pusat pemindahan yang disediakan adalah Maahad Integrasi Tahfiz Selangor di Sepang; Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dan Dewan Orang Ramai Sri Kundang, Kampung Kundang di Kuala Langat; Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang dan Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di Klang; Sekolah Kebangsaan Asam Jawa dan Dewan Orang Ramai Jeram di Kuala Selangor serta Dewan Sri Sekinchan dan Dewan Seri Bernam di Sabak Bernam.