Perincian Sidang Mahkamah Kes Pembunuhan Birch Ke Atas Seputum Pada Mac 1876

Setelah pertempuran diantara tentera British dan pejuang Melayu berakhir di Enggor, pahlawan-pahlawan Melayu mula berundur untuk menyelamatkan diri. Pada waktu ini tentera British mula menumpukan perhatian kepada gerakan untuk memburu mereka yang terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch.

Usaha pihak British ini turut disertai oleh orang-orang Melayu, Bugis, Rawa dan Mandaling terutama yang datang dari luar negeri Perak. Hasilnya Seputum telah berjaya ditangkap oleh Mahmin, Odah Pulau, Alang Rupah, Odah Mat Kasim dan Si Kumbang di Lambor.

Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad telah dipenjara dan kemudian dihadapkan ke mahkamah pada bulan Mac 1876 bagi menghadapi pendakwaan atas tuduhan terlibat secara lansung terhadap pembunuhan Residen British Negeri Perak.

Mereka dibicarakan dalam mahkamah Melayu milik kerajaan negeri Perak. Justeru itu Raja Idris telah dilantik oleh Sultan Abdullah sebagai hakim bagi membicarakan kes ini.

Manakala Gabenor Sir William Jervois pula melantik J.G. Davidson, Residen British Selangor sebagai penilai perbicaraan dengan dibantu oleh F.Swettenham.

Pemilihan dan perlantikan ini dibuat berdasarkan pengalaman mereka yang luas. J.G. Davidson mempunyai pengalaman dalam bidang undang-undang dan beliau ketika itu menjawat jawatan sebagai Residen British pertama untuk negeri Selangor. F.Swettenham pula berpengalaman dalam bidang pentadbiran di Tanah Melayu dan beliau juga merupakan pemangku jawatan Residen British Perak.

Pada 3 Mac 1876, mahkamah di Bandar Baru memulakan persidangan. Raja Idris sebagai hakim, Davidson dan Swettenham sebagai penilai. Manakala tertuduh pula terdiri daripada Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad telah dihadapkan di mahkamah dengan tuduhan membunuh J.W.W. Birch, jurubahasa Mat Arshad, Din pendayung dan Hend Sheer Singh, salah seorang pegawai residen di Pasir Salak pada 2 November 1875.

Pertuduhan telah dibacakan secara terperinci kepada tertuduh dan apabila hakim meminta pengakuan, mereka telah mengaku tidak bersalah atas setiap pertuduhan tersebut. Setelah mendengar pengakuan tersebut, mahkamah memulakan perbicaraan dengan memanggil Hamid yang merupakan saksi untuk memberi keterangan. Hamid menceritakan J.W.W. Birch datang bersama rombongan, tiba dan bermalam di Pasir Salak.

Pada pagi 2 November 1875, pukul 6 pagi Leftenan Abbott dengan pasukan sepoi telah pergi berburu di Kampung Gajah. Manakala Jurubahasa Mat Arshad pergi melekatkan surat pengisytiharan di kedai emas Cina.

Beliau kemudian menerangkan bahawa Mat Arshad selepas itu ditikam dalam pertengkaran. Hamid menyatakan Seputum ada pada ketika itu dan berteriak dengan kata amuk. Beliau mengenali Seputum kerana Seputum mengidap penyakit kulit aneh dan untut di sebelah kakinya.

Hamid juga menyatakan Si Gondah ada pada 2 November 1875 di Pasir Salak telah membawa lembing dan berteriak amuk. Dalam pada itu Hamid tidak dapat memastikan sama ada Ngah Ahmad ada atau tida ketika J.W.W. Birch dibunuh.

Kemudiannya Koh Ah Yong, tukang emas dipanggil memberi keterangan. Beliau menyatakan pada hari surat pengisytiharan dilekatkan oleh jurubahasa Mat Arshad, beberapa orang yang berkumpul di Pasir Salak, termasuk Ngah Ahmad mengoyak surat pengisytiharan dan diserahkan kepada Dato Maharaja Lela.

Sementara itu Seputum membawa dua batang lembing dalam perhimpunan itu. Koh Ah Yong menyatakan Seputum telah menetak J.W.W. Birch dengan parang panjang di kepala sebanyak tiga kali.

Seterusnya beliau menyatakan tidak nampak Si Gondah, sebaliknya melihat Ngah Ahmad membawa dua batang lembing dan sebilah keris. Setelah mendengar penjelasan tersebut, perbicaraan kemudiannya ditangguhkan untuk hari tersebut.

Pada 4 Mac 1876, mahkamah bersidang semula. Koh Ah Yong sekali lagi dipanggil bagi memberi keterangan. Pada kali ini beliau menerangkan mayat J.W.W. Birch dijumpai oleh orang Bugis dan beliau mengakhiri pengakuannya. Berikutnya mahkamah memanggil Hoo Ah Choey untuk memberi keterangan.

Hoo Ah Choey dalam keterangan kepada mahkamah menyatakan bahawa Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad berada di tebing sungai pada 2 November 1875. Seputum mengoyak surat pengisytiharan dan menetak dua kali J.W.W. Birch ketika berada di dalam air.

Manakala Si Gondah dan Ngah Ahmad melaungkan amuk. Kedua-duanya ada membawa keris dan lembing. Seterusnya keterangan tersebut, J.J. Keyt, kerani residen pula dipanggil oleh mahkamah untuk memberi keterangan.

J.J. Keyt menyatakan kepada mahkamah bahawa setelah diarah oleh Timbalan Pesuruhjaya (W.E. Maxwell), beliau telah mencatatkan pengakuan Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad ketika mereka di dalam penjara.

Ketiga-tiga kenyatakan ini dibacakan di dalam mahkamah. Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad akhirnya mengesahkan pengakuan masing-masing kepada J.J. Keyt. Pengakuan ini menyentuh peristiwa yang berlaku di Pasir Salak.

Kemudiannya Hajjah Fatimah dipanggil bagi memberi keterangan. Beliau menyatakan pada malam selepas J.W.W. Birch dibunuh, sekumpulan orang-orang bersenjata telah datang ke rumahnya.

Di antara mereka ialah Si Gondah dan mereka merancang hendak menyerang Bandar Baharu. Begitu juga dengan Haji Mohamed Amin yang turut menyatakan Si Gondah ada di dalam kumpulan yang hendak menyerang Bandar Baharu.

Selain itu Haji Mohamed menyatakan bahawa Si Gondah ada menyebut perkataan Amuk. Manakala Inspektor Lagis bin Suboh, ketika memberi keterangan di mahkamah memaklumkan perincian tentang luka dan kecederaan yang terdapat pada badan J.W.W. Birch dan Mat Arshad.

Setelah Inspektor Lagis memberi keterangan, pendakwaan ke atas tertuduh ditutup. Tertuduh pula memaklumkan kepada mahkamah mereka tidak mempunyai saksi untuk memberi keterangan.

Walaupun begitu, hakim memberi peluang kepada tertuduh untuk memberi keterangan. Seputum dalam keterangannya bersuara bahawa sama ada beliau terlibat atau tidak, kedua-duanya sama sahaja baginya.

Ini kerana sekiranya beliau tidak terlibat dengan pembunuhan J.W.W. Birch, Dato Maharaja Lela mengugut akan membakar rumah dan merampas hartanya. Oleh kerana beliau merupakan buruh di bawah pentadbiran Dato Maharaja Lela, jika tidak menjalankan tugas yang diberikan, Dato Maharaja Lela akan membunuhnya.

Dalam pada itu Seputum turut menyatakan, jika dia melakukan kesalahan, maka itu adalah dalam menjalankan tugas yang disuruh Dato Maharaja Lela. Begitu juga Si Gondah menyatakan dia diarahkan oleh Dato Maharaja Lela.

Sekiranya beliau ingkar, rumahnya akan dibakar dan anak isteri beliau akan diambil. Manakala Ngah Ahmad pula menyatakan yang dia tidak ada ketika J.W.W. Birch dibunuh. Beliau tiba di tebing sungai setelah pembunuhan tersebut sudah berlaku.

Selepas mendengar keterangan Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad, mahkamah menangguhkan sidangnya yang telah bermula dari jam pukul 8 pagi, 4 Mac 1876. Pada 5 Mac 1876, mahkamah bersidang semula.

Dalam menggulung penghujahan perbicaraan ini, Hakim Raja Idris memaklumkan kepada Seputum, Si Gondah dan Ngah Ahmad yang beliau mendengar semua keterangan sepanjang mahkamah bersidang.

Seterusnya beliau memaklumkan keputusan bahawa kesemua tertuduh telah didapati bersalah dan mahkamah memutuskan bahawa setiap tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Walaupun begitu, Hakim Raja Idris menyatakan yang hukuman gantung hanya akan dilaksanakan setelah disahkan oleh Sultan.

Keputusan mahkamah ini dihantar kepada Gabenor dan dibincangkan dalam Majlis Kerja yang dipengerusikan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat. Majlis Kerja berpuas hati dengan bukti tuduhan ke atas Seputum dan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.

Namun begitu Majlis Kerja berpendapat, walaupun Si Gondah dan Ngah Ahmad hadir ketika J.W.W. Birch dibunuh, tiada bukti yang kukuh menyatakan mereka terlibat dengan pakatan untuk membunuh J.W.W. Birch.

Dengan itu Majlis Kerja terpaksa campur tangan dalam keputusan Mahkamah Melayu melalui Gabenor. Gabenor mengarahkan Timbalan Pesuruhjaya Perak menasihati Sultan Abdullah untuk meminda hukuman ke atas Si Gondah dan Ngah Ahmad kepada penjara seumur hidup.

Seputum telah digantung sampai mati di Bandar Baru pada 20 Mei 1876. Jenazahnya kemudian dibawa ke Pasir Salak dan dikebumikan disana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here