Politik sudah berubah, tanpa perpaduan PH akan kalah

AMANAH memberikan ingatan kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan dan penyokongnya termasuk Pejuang agar memahami suasana politik negara sekarang telah jauh berubah berbanding dengan pra pilihan raya 14 lalu.

Oleh itu, hanya satu sahaja yang boleh membolehkan mereka menang dalam pilihan raya ke 15 nanti iaitu perpaduan dan kesatuan di kalangan pemimpin dan penyokong mereka.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, apa yang paling menyedihkan beliau sekarang adalah perbalahan antara pihak-pihak dalam PH dan penyokongnya sehingga tidak berjumpa.

“Yang paling menyedihkan adalah apabila kita tidak dapat selesaikan perbalahan yang meruncing antara kita hingga tidak bertemu. Bahkan ada pula yang menganggap ia tak perlu diselesaikan.

“Kita kena faham suasana sekarang sudah berubah berbanding sebelum PRU 14 lalu. Dahulu BN, Pas dan PH bertanding tiga penjuru. Sekarang Pas dan Umno bergabung dan Bersatu yang bersama kita dahulu sudah bersama dengan mereka.

“Dalam keadaan ini, kita akan kalah kalau kita tidak bersatu. Suasana ini akan mempengaruhi undi Melayu. Ia takkkan selesai kerana tak bertemu,” kata Khalid.

Khalid dipercayai merujuk kepada pertembungan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sehingga kini tidak boleh bertemu untuk menyelesaikan perbezaan antara mereka.

Antara yang menyedihkan beliau adalah ada sebahagian penyokong PH sendiri yang bertepuk tangan apabila Pejuang kalah di Slim dan Wawasan Plus kalah di Sabah.

“Saya yakin kita boleh menang jika usaha lebih keras dibuat untuk bersama. Faktor berebut jawatan PM akan tunjuk kita tak boleh kerjasama.

“Paling sedih, bila Slim kalah, ada yang bertepuk. Apa maknanya itu. Boleh jadi sebahagian penyokong kita sendiri undi BN atau tidak keluar mengundi.

“Bila Warisan Plus kalah di Sabah ada di kalangan kita juga bertepuk. Mungkin orang yang berpura-pura memihak kepada kita. Mereka kata, oleh itu Shafie tak layak jadi PM, nak menang Sabah pun tak boleh. Ini satu yang sangat negatif dan menyedihkan saya,” kata Khalid.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here