PKPB: Tahap patuh warga Kajang 95 peratus, dua PBT lain pergiat rondaan

Kadar pematuhan penduduk dan peniaga di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terhadap tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mencapai 95 peratus setakat ini.

Pegawai Perhubungan Awamnya Kamarul Izlan Sulaiman berkata statistik itu berdasarkan pemantauan anggota penguat kuasa dan polis membabitkan mukim Cheras, Kajang, Semenyih, Bangi dan Hulu Langat.

“Kita percaya semua pihak akur dengan arahan PKPB bagi mengelak dikenakan tindakan malah rata-ratanya sedar bahawa jangkitan Covid-19 di Selangor semakin meningkat.

“Tiada premis dikesan beroperasi melebihi had masa cuma ada beberapa kes terpencil yang tidak mematuhi penggunaan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan hanya menggunakan sistem MySejahtera. Pengusaha terbabit diarah sediakan SELangkah dengan kadar segera,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata ketika ini pihaknya meningkatkan pemantauan dan kawalan di pasar awam Seksyen 6 dan Seksyen 16, di sini sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut Shahrin Ahmad, anggota penguat kuasanya turut membuat rondaan di premis seperti restoran, kedai runcit, kedai serbaneka, warung dan stesen minyak selain pemantauan daripada aspek pelesenan, kesihatan serta halangan awam.

“Kita akan terus mengadakan rondaan dan pemantauan terhadap kawasan MBSA secara berkala bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP sekali gus memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain pula berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung pelanggaran SOP PKPB dalam kalangan masyarakat mahupun peniaga.

Bagaimanapun, jelas beliau, Jabatan Pelesenan dan Penguat kuasa dengan kerjasama polis menjalankan pemeriksaan sepanjang masa khususnya di tempat tumpuan umum seperti pasar awam dan pasar raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here