Agong Boleh Memprorog Parlimen Demi Kestabilan Negara – Peguam

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah boleh menggunakan peruntukan Perkara 55 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan bagi memprorog Parlimen.

Ini kerana, menurut peguambela dan peguamcara Datuk Salehuddin Saidin, apabila Parlimen tidak lagi berfungsi pada saat itu, Agong mempunyai kuasa mengambil alih pentadbiran negara.

Tindakan itu dilakukan dengan bantuan barisan Kabinet kecemasan yang ditubuhkan bagi mencapai kestabilan negara.

“Kita tahu, Parlimen akan bersidang pada 2 November ini, dan apa yang boleh dilakukan di-Pertuan Agong adalah, menggunakan peruntukan Perlembagaan Perkara 55 Fasal 2 yang menyatakan baginda boleh memprorog Parlimen.

“Apabila Parlimen sudah ditangguhkan, pengisytiharan darurat itu boleh diwartakan.

“Maka, ketika itu, Parlimen sedia ada tidak lagi berfungsi dan Agong boleh mengambil alih pentadbiran negara dengan bantuan satu barisan Kabinet emergency yang dibentuk untuk tujuan melaksanakan pentadbiran negara,” katanya ketika dihubungi menerusi program Agenda AWANI malam tadi. 

Bagaimanapun, Salehuddin berkata, satu barisan Kabinet baharu tidak semestinya dibentuk, “malah, barisan Kabinet sedia ada juga boleh membantu urusan pentadbiran negara, dan ini terpulang kepada kebijaksanaan Agong.”

Dalam pada itu, Salehuddin berpendapat pengisytiharan darurat ketika ini adalah wajar berlandaskan dua faktor katanya.

Pertama, ketidakstabilan politik negara dan kedua, penularan COVID-19 yang kian meningkat ketika ini.

“Jadi, gabungan dua faktor ini mewajarkan pengisytiharan darurat untuk dilaksanakan. Faktor ini dikatakan menggugat keselamatan negara, menggugat kestabilan dan kesihatan rakyat sehingga menyebabkan kemelesetan ekonomi rakyat.

“Disebabkan faktor ini, bagi saya, situasi semakin meruncing dan pilihan yang ada ketika ini adalah sama ada melihat kesesuaian untuk mengisytiharkan darurat ini atau sebaliknya,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here