Seorang lelaki dipercayai terlibat dengan penjualan haram barangan antik dilaporkan telah membunuh seorang rakannya kerana sebuah mimpi.
Menurut Gulf News, suspek dikatakan telah bermimpi bahawa rakannya melaporkan kegiatan haramnya kepada pihak polis.
Kata lelaki itu seperti dilaporkan media, mangsa pernah mengugut untuk membocorkan kegiatan itu kepada pihak polis, melainkan jika suspek sedia membayar 1 juta pound Mesir (kira-kira RM 265,168) kepadanya.
“Selepas ugutan ini, saya bermimpi dia memberitahu polis, jadi saya bunuh dia,” kata suspek.
Suspek mengaku telah memperdaya mangsa untuk mendapatkan wang sebelum menyembelih, mengikat dan membuang mayatnya di parit saliran dengan bantuan lima rakan subahat lain.
Lelaki itu juga dikatakan telah menyertai carian bersama keluarga mangsa, malah turut menghadiri pengebumian setelah mayat mangsa yang reput ditemui.
Susulan itu, suspek telah direman empat hari bagi membantu siasatan atas tuduhan membunuh dengan niat.