Yide beri sumbangan kepada mangsa kebakaran di Taman Keramat

Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyampaikan sumbangan kecemasan kepada lima keluarga mangsa kebakaran di Jalan Enggang 13, Taman Keramat kelmarin.

Agensi dalam kenyataan memaklumkan sumbangan wang tunai dan kit bantuan itu sebagai tanda prihatin dan meringankan beban mangsa terbabit.

“Terima kasih kepada penyumbang yang telah menderma melalui Tabung Dana Musibah Yide,” menurutnya sambil menambah sumbangan disampaikan Pegawai Kebajikan, Muhammad Zubair Azizan.

Salah seorang mangsa, Musran Dollah, 59, berkata kejadian kira-kira jam 11 pagi pada 28 Oktober lalu menyebabkan struktur rumah hangus terbakar secara keseluruhannya.

Menurutnya, anggota bomba yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya memadam api marak namun pemilik dan penyewa rumah tidak sempat menyelamatkan barang peribadi.

“Kebakaran memusnahkan sebuah rumah teres paling hujung (corner lot) yang disewakan kepada empat keluarga lain.

“Buat masa ini, kesemua mangsa kebakaran ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) AU1A/2 bersebelahan Surau Azziah,” katanya dalam kenyataan sama.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian hotline Yide 017-7569476.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here