Pencarian vaksin hampiri penamatnya

STATISTIK Universiti John Hopkins merekodkan lebih 58 juta penduduk dunia telah dijangkiti virus Covid-19 justeru penghasilan vaksin yang terbukti berkesan dan selamat digunakan manusia dilihat sebagai satu keutamaan untuk komuniti global termasuk Malaysia.

Pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat (AS) dan China masing-masing giat menjalankan ujian klinikal bagi menghasilkan vaksin yang diharap dapat menjadi benteng pertahanan daripada virus maut yang telah mengorbankan lebih sejuta nyawa setakat ini.

Terkini, syarikat farmaseutikal Pfizer dari AS dengan kerjasama firma bioteknologi BioNTech SE dari Jerman mendedahkan hasil ujian klinikal akhir mendapati vaksin yang dihasilkan mereka adalah 95 peratus berkesan dan tidak mempunyai isu keselamatan yang serius.

Yakin dengan kemampuan vaksin tersebut bertindak aktif dan berkesan melawan jangkitan Covid-19, Pfizer dilaporkan akan memohon kelulusan untuk penggunaan vaksin berkenaan daripada pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, sebuah lagi firma bioteknologi dari AS, Moderna mendedahkan vaksin Covid-19 yang dihasilkan mereka adalah 94.5 peratus berkesan dan lebih mudah disimpan berbanding vaksin buatan Pfizer dan BioNTech SE yang perlu disimpan dalam suhu ultra sejuk.

Walaupun dua syarikat itu mendakwa bahawa vaksin mereka mencapai lebih 90 peratus keberkesanannya namun pada ketika ini terdapat enam vaksin yang sudah melepasi ujian klinikal fasa tiga.

Enam vaksin itu adalah Ad5 dari syarikat CanSino Biologics di China, vaksin Sputnik V dari Gamaleya Research Institute di Rusia, vaksin EpiVacCorona dari Vector Institute di Rusia, vaksin CoronaVac dari syarikat Sinovac Biotech di China dan dua lagi vaksin dari syarikat Sinopharm di juga dari China.

Boleh dikatakan kejayaan kesemua vaksin tersebut sedikit sebanyak meniupkan sinar harapan namun adakah penemuan itu menandakan kita semakin hampir ke garisan penamat memerangi Covid-19?

Bagi pakar epidemiologi daripada Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr Awg Bulgiba Awg Mahmud, pengumuman oleh firma Pfizer dan BioNTech SE serta Moderna adalah terlalu awal memandangkan ujian klinikal fasa tiga bagi kedua-dua vaksin berkenaan masih belum lagi selesai.

“Cara pengukuran keberkesanan yang dilaporkan sebagai 90 peratus juga adalah daripada dapatan awal dan belum lagi diterbitkan dalam mana-mana jurnal yang berwasit. “Kita berharap bahawa keberkesanan ini adalah betul dan benar daripada segi epidemiologi dan bukan didorong oleh kepentingan komersial semata-mata,” katanya.

Biarpun penemuan awal vaksin itu dapat memberi sedikit harapan, Awg Bulgiba membangkitkan beberapa isu berkaitan vaksin yang dihasilkan firma-firma terbabit.Tegasnya, hanya setelah terdapat bukti yang kukuh dan telah diteliti oleh pakar-pakar dalam bidang ini, barulah sebenarnya syarikat itu boleh memohon kelulusan daripada badan yang bertanggungjawab mengawal-selia ubat-ubatan seperti FDA Agensi Perubatan Eropah dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di Malaysia.

“Pertama, sama ada ia benar-benar selamat untuk digunakan oleh kumpulan sasaran. Kedua, sama ada ia benar-benar berkesan terutama sekali dalam kalangan kumpulan sasaran yang tertentu seperti warga emas dan orang yang berisiko tinggi dan ketiga, sama ada ia boleh dikeluarkan dalam kuantiti yang mencukupi,” katanya.

Pujian harus diberikan kepada kerajaan kerana berusaha meringankan beban rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan malah kerajaan juga dilaporkan telah memperuntukkan RM3 bilion untuk membiayai perolehan vaksin Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat baru-baru ini, keperluan mendapatkan vaksin berkenaan termasuk dalam peruntukan Kumpulan Wang Covid-19.

Selain itu, Malaysia dan China juga dilaporkan telah menandatangani perjanjian kerjasama dalam pembangunan vaksin yang selamat dan berkesan.

Khairy juga mengatakan kerajaan telah berhubung dengan 10 pengeluar vaksin Covid-19.

Ia membabitkan lapan pengeluar yang dihubungi secara terus manakala dua lagi pengeluar Covid-19 dihubungi melalui Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax) yang bakal menjamin Malaysia akan mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 untuk 10 peratus populasi negara.

Menyentuh tentang keutamaan imunisasi, Khairy memaklumkan Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan pada 14 Oktober lalu bersetuju membahagikan kepada tiga fasa dengan kumpulan petugas barisan hadapan diberikan keutamaan.

Bagi pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman, kejayaan penemuan kedua-dua vaksin berkenaan berkemungkinan menjadi langkah penyelesaian kepada krisis Covid-19.

Malina menambah sekiranya vaksin tersebut terbukti berkesan dan mula berada di pasaran Malaysia, keutamaan perlu diberikan kepada anggota barisan hadapan, kakitangan kesihatan dan perubatan, sama seperti yang ditegaskan oleh Khairy.

“Golongan berisiko untuk mendapat komplikasi teruk serta mereka yang perlu membuat perjalanan ke kawasan berisiko juga perlu diberi keutamaan,” kata Malina yang berharap vaksin itu selamat digunakan untuk setiap kumpulan umur.

Malina turut menegaskan dengan penemuan vaksin berkenaan, ia seharusnya tidak menghalang komitmen rakyat Malaysia untuk terus patuh terhadap semua langkah pencegahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here