Bayaran cukai guna cek kiriman pos dihentikan

Bayaran cukai menggunakan cek yang dikirimkan melalui pos kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan dihentikan mulai 1 Januari depan.

LHDN dalam kenyataannya berkata, tindakan itu merealisasikan hasrat kerajaan ke arah meningkatkan penggunaan medium bayaran secara dalam talian (e-bayaran).

Bagaimanapun, pemberhentian itu tidak terpakai kepada bayaran yang dibuat untuk cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), Cukai Pendapatan Penghibur Awam (Seniman Kembara), Cukai Pegangan dan kompaun.

Sehubungan itu katanya, mulai tarikh tersebut pembayar cukai atau wakil boleh membuat bayaran melalui ByrHasil dengan menggunakan kemudahan ezHasil di portal rasmi LHDN www.hasil.gov.my

Selain itu, bayaran boleh dibuat menerusi portal perbankan internet bank yang dilantik sebagai ejen kutipan, kaunter bayaran di Pusat Bayaran LHDN, kaunter bank, mesin deposit tunai atau cek serta mesin juruwang automatik (ATM).

Bagi pembayaran yang dilakukan di kaunter bank, pembayar cukai hendaklah memastikan nombor rujukan fail cukai pendapatan, nama penuh dan nombor MyKad, tahun taksiran dan bilangan ansuran cukai dibayar, kod bayaran dan amaun yang tepat.

Bagi mengelakkan kenaikan lewat bayar dikenakan, pembayar cukai atau wakil cukai hendaklah memastikan ketetapan baharu ini dipatuhi dan sebarang bayaran cukai menggunakan cek melalui mel atau kurier hendaklah disempurnakan sebelum 1 Januari depan.

“Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat dan menerusi https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here