Kes tetak bekas penyelidik MARDI: 10 individu ditahan

Polis menahan 10 individu yang disyaki terbabit dalam kejadian samun dan tetak seorang bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Bukit Bandaraya, Bangsar di sini, semalam.

Polis menahan 10 individu yang disyaki terbabit dalam kejadian samun dan tetak seorang bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Bukit Bandaraya, Bangsar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar mengesahkan penahanan tersebut yang dilakukan setakat malam tadi.

Menurutnya, perincian mengenai tangkapan tersebut akan didedahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin dalam satu sidang media hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi semalam, Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera di tangan kanan akibat ditetak.

Mangsa dipercayai ditetak dengan parang apabila cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk dari tingkap dapur banglo dua tingkat itu.

Perompak dipercayai memasuki kawasan perumahan terbabit melalui laluan belakang bagi mengelak dikesan pengawal bertugas.

Wakil pengurusan syarikat pengawal keselamatan di kawasan perumahan itu Ranveer Singh, 32, berkata pengawal yang bertugas di kawasan perumahan di Jalan Mambu pada malam tadi tidak mengesan sebarang perkara mencurigakan.

“Pengawal keselamatan di sini bertugas 24 jam setiap hari dan pasti akan dapat mengesan penjenayah itu jika mereka (memasuki kawasan perumahan) menggunakan laluan biasa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu berkata penduduk di kawasan itu sudah mengemukakan cadangan untuk menambah bilangan pengawal keselamatan.

Sementara itu, Anuar berkata selepas kejadian, 2 suspek kes berkenaan dipercayai melarikan diri ke arah sebuah parit besar di belakang rumah banglo terbabit.

Katanya, anjing pengesan dapat menjejak suspek sehingga kira-kira 50 meter dari parit besar berkenaan sebelum bau mereka hilang di bahagian air parit itu dan di jalan besar berdekatan.

“Usaha memburu suspek dipergiatkan dan polis akan mengenal pasti lebih banyak maklumat seperti pakaian dan rupa mangsa untuk dihebahkan,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here