Penganalisis politik: Ahli Parlimen berhak jatuhkan kerajaan

Dari sudut hak demokratik Ahli-ahli Parlimen berhak menjatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya, termasuklah secara tidak langsung iaitu dengan menolak belanjawan, kata penganalisis politik Dr Muhammad Fathi Yusof.

Namun, kata Felo Penyelidik Universiti Teknologi Malaysia itu,  berdasarkan realiti semasa khususnya wabak Covid-19 dan ketiadaan calon yang jelas yang mendapat sokongan majoriti maka, hak itu tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan.

“Situasi yang akan berlaku akibat kejatuhan kerajaan perlu difikirkan semasak-masaknya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, apabila Perdana Menteri  hilang kepercayaan, maka seorang Ahli Dewan Rakyat lain perlu dipilih untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Katanya lagi, pemilihan adalah atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Ada empat tokoh yang kelihatan berkemungkinan akan dicalonkan iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Shafie Afdal, Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh. Tapi belum ada petanda jelas mana-mana daripada mereka akan mendapat sokongan majoriti,” katanya.

“Bila PM sekarang dijatuhkan tidak mustahil ada parti yang mengambil sikap berkecuali dan enggan menyokong mana-mana tokoh yang dicalonkan,” ujarnya.

Menurut beliau, jika tiada tokoh yang melepasi majoriti mudah, maka pilihan lain ialah pembubaran Parlimen, dan seterusnya dalam masa 60 hari Pilihan Raya Umum perlu diadakan.

“Soalnya, adakah rakyat dan negara telah bersedia melalui PRU ke-15 dalam tempoh wabak yang belum reda ini?,” katanya.

“Oleh yang demikian, kita menggesa agar mana-mana pihak yang berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan agar mengambil langkah yang lebih bertanggungjawab, agar rakyat dan negara tidak diheret ke dalam kecelaruan politik yang boleh memburukkan keadaan ekonomi dan wabak Covid-19,” katanya.

Katanya, perlu diingat juga bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberikan nasihat yang jelas agar ahli politik menghentikan segera segala politiking dan tidak mengganggu-gugat kestabilan kerajaan.

“Sama-sama kita doakan agar para pemimpin politik kita sentiasa dikurniakan hidayah dan taufik bagi membuat keputusan terbaik demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here