Dua Kampung Di SABAK BERNAM Dikejutkan Dengan Ketukan Pintu Misteri

Bunyi ketukan pintu misteri yang berlaku di daerah Sabak Bernam sejak seminggu lalu, masih tidak menunjukkan tanda bakal berhenti apabila gangguan itu masih berterusan hingga menakutkan penduduk.

Difahamkan, gangguan ketukan yang sebelum ini berlaku di beberapa kampung, kini berlaku di dua taman perumahan dan rumah petugas kesihatan.

Penduduk Taman Cahaya 2, Sungai Besar, Syed Amir Syed Azizi, 16, berkata, kejadian sama dialami ketika dia berada di dapur rumahn bersama kakaknya kira-kira 8.30 malam tadi.

“Waktu itu, saya dan kakak baru selesai memasak. Tiba-tiba, saya ternampak kelibat seseorang di tingkap.

“Tidak lama selepas itu, terdengar bunyi ketukan pintu yang laju seolah seseorang mahu masuk ke dalam rumah dengan cepat.

“Seluruh keluarga terdiam seketika apabila mendengar bunyi ketukan itu. Saya beranikan diri keluar dan pergi ke belakang rumah untuk melihat siapa yang mengetuk pintu.

Ternyata, tiada siapa di situ,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Kata Syed Amir, dia mengetepikan perasaan takut kerana memikirkan keselamatan keluarga dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.

“Saya tak pasti siapa yang lakukan perkara (ketukan pintu) itu. Yang pasti, kejadian ini pertama kali berlaku dan harap ia tidak berulang kembali,” katanya.

Sementara itu petugas kesihatan Klinik Desa Sungai Burong, Sungai Besar, Siti Nur Ain Remli, 27, berkata, dia mendengar bunyi seakan ketukan besi mesin basuh di dapur rumahnya, kira-kira 1 pagi tadi.

“Bunyi ketukan itu berlangsung selama lima minit. Kemudian, ia bersambung pula dengan ketukan pada pintu kayu dapur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here