“BAYARAN UNTUK MENGAMBIL AIR MENTAH DARI SUNGAI MUDA?” – PROF RAMASAMY

Georgetown, Dis 26 –

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertegas tidak akan membayar satu sen atau memberi sumbangan kepada Kedah berhubung pengambilan air mentah dari Sungai Muda.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata, tiada sebarang rundingan akan dilakukan dengan Kerajaan Negeri Kedah sekiranya hak air Pulau Pinang tidak dihormati.

“Mengapa Pulau Pinang harus membayar kepada Kedah untuk mengambil air dari sisi Sungai Muda dan perjanjian antara negeri sebelum ini jelas menyatakan Pulau Pinang turut mempunyai hak ke atas air itu.

Kerajaan Kedah tetap mahu Pulau Pinang membayar caj air mentah dari kawasan Ulu Muda bukannya hanya diberikan sumbangan.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya telah meletakkan bayaran sebanyak 10 sen bagi satu meter padu, namun bersedia untuk berunding dengan Pulau Pinang.

“Sumbangan ini jika hendak bagi tidak mengapa, tidak mahu bagi pun tidak mengapa tetapi kami mahu bayaran,” katanya.

Dalam pertikaian isu air antara Kedah dan Pulau Pinang, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini menggalakkan Pulau Pinang memberi sumbangan kewangan atas ‘pengorbanan’ Kedah untuk tidak meneroka kawasan tadahan air di Ulu Muda.

Menurutnya, komitmen Menteri Besar Kedah yang tidak meneroka Ulu Muda yang merupakan kawasan tadahan air penting untuk Kedah dan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, garis tengah Sungai Muda membatasi sempadan antara Kedah dengan Pulau Pinang dan hak air sungai seperti yang disahkan oleh Perlembagaan membenarkan sesebuah negeri menggunakan air jika sumbernya berada dalam batas.

Katanya, konsep Hak Riparian jelas menyokong hak perairan Pulau Pinang untuk diambil dari sisi Sungai Muda.

“Pada umumnya punca air Sungai Muda bermula dari sempadan Thailand dan Sanusi sepatutnya bersedia membayar caj air kepada kerajaan Thailand. Dengan ini, atas dasar apa Muhammad Sanusi menuntut caj air mentah dari Pulau Pinang. Dia tidak mempunyai asas undang-undang atau bahkan Perlembagaan,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here