TIRU SUARA ANAK UNTUK MEMPERDAYA NELAYAN

Rompin, Dis 28-

Taktik penjenayah untuk melakukan scam semakin canggih dan kehadapan apabila mereka mula meniru suara ahli keluarga dan kenalan sehingga menyebabkan seorang nelayan, 59 kerugian RM 13 000 akibat diperdaya individu menyamar anaknya yang menghubunginya melalui panggilan telefon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri superintenden Mohd. Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dihubungi ketika sedang bekerja menangkap ikan di laut.

“Pada pukul 11 pagi kelmarin, mangsa terima panggilan telefon daripada seseorang yang suaranya hampir mirip anak sulungnya dan memberitahu telah menukar nombor telefon.

“Suspek meminta mangsa memasukkan wang RM 5000 dengan alasan untuk membeli barang perniagaan,”  katanya dalam kenyataan.

Mohd Wazir menambah sejurus selepas panggilan itu, lelaki tersebut meminta bantuan rakannya  untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.

Selepas itu, katanya, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan meminta RM 8000 kerana wang diterima sebelumnya tidak mencukupi.

Mangsa meminta bantuan majikannya yang berada di darat untuk memasukkan wang RM 8000 ke dalam akaun yang sama,” katanya.

Beliau berkata mangsa menyedari ditipu ketika menghubungi anaknya apabila kembali ke darat semalam.

Anaknya menafikan menghubungi mangsa untuk meminta wang. Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Rompin dan kes disiasat mengikut seksyen 420,” katanya.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here