SOROTAN 2020:  COVID 19- TERSEMAT DALAM SEJARAH DUNIA

KUALA LUMPUR: Jika angka satu menjadi permulaan, semestinya esok tanggal 1 Januari 2021 akan menjadi lembaran sulung dekad baharu yang menggerakkan segala usaha ‘penyembuhan dunia’ selepas mengharungi tahun suram penuh cabaran.

Sepanjang 366 hari dilalui, diari 2020 bernoktah dengan dipenuhi cabaran luar biasa yang berkemungkinan tidak terlintas dalam perancangan di mana-mana penjuru dunia, jauh sekali bersedia menghadapi impaknya.

Sebelum COVID-19 meledak menjadi pandemik global, Perdana Menteri yang ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohammad menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Yang di Pertuan Agong susulan pergolakan dalam Pakatan Harapan (PH).

Mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan cabaran besar dalam memulakan tanggungjawabnya ketika keadaan bibit jangkitan COVID-19 mula melepasi sempadan asalnya di Wuhan, China.

Dilihat dalam perspektif berbeza, usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19 menerusi beberapa langkah drastik seperti penutupan sempadan antarabangsa dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu banyak merawat ‘kelesuan politik’ dihadapi rakyat.

Meskipun pandangan bercampur-baur dan keabsahan kerajaan pimpinannya pernah dipertikai kumpulan penentang, Muhyiddin bersama barisan Kabinet kekal tenang mengatur langkah bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke arah melindungi kepentingan semua.

Walaupun ada pihak tidak menyenangi langkah kerajaan menutup sektor industri yang dianggap ‘membunuh’ nadi ekonomi, pendekatan itu terbukti menjadi penawar berkesan dalam mengekang penularan jangkitan sebagai mana keputusan ‘mengurung’ rakyat di kediaman masing-masing termasuk ketika sambutan perayaan utama.

Seperkara wajar dibanggakan ketika PKP ialah kebersamaan masyarakat dalam menghargai petugas barisan hadapan yang berkorban masa, keringat dan air mata memerangi musuh tidak kelihatan.

Imej petugas kesihatan terbaring kepenatan dibaluti peralatan perlindungan diri (PPE), anggota polis dan tentera berhujan petir di sekatan jalan serta penghantar makanan bermotosikal maut akibat nahas jalan raya adalah sekelumit cerita yang menyatukan keprihatinan rakyat.

Petugas kesihatan di Hospital Sungai Buloh berehat di atas lantai kerana keletihan menjalankan tugas.

Secara spontan, warga maya menggelar Muhyiddin sebagai ‘Abah’ kerana kerap menitip ingatan supaya ‘anak-anaknya’ duduk di rumah sebagai tanda menyokong usaha kerajaan memutuskan rantaian COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri atau ‘Pak Long’ turut menjadi bahan usikan netizen apabila pakaiannya ketika sidang media secara langsung disamakan dengan pelbagai juadah, manakala warna baju Melayu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan Belanjawan 2021 dikhabarkan menjadi pilihan sambutan hari raya tahun hadapan.

Komitmen Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, turut disanjung atas ketabahan dan kesabaran menerajui misi memerangi COVID-19 diiktiraf dunia.  Malah senyumannya melebar ketika negara mencatat sifar jangkitan tempatan pada 1 Julai sebelum gelombang ketiga mengubah suasana.

Sesi persekolahan dibuka semula secara berperingkat bermula 15 Julai selepas ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 18 Mac lalu akibat Covid-19.

Penemuan vaksin COVID-19 harus menjadi antara kemuncak melegakan 2020 dan menjelang suku pertama tahun depan, ia dikatakan akan dibawa masuk ke Malaysia dengan 80 peratus populasi bakal menikmati imunisasi secara percuma.

Ketika norma baharu semakin sebati menjadi pengisian harian, agenda lebih besar diberi tumpuan pada 2021 ialah usaha pemulihan ekonomi dalam skala menyeluruh.

Pengenalan perancangan teratur seperti Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) terbukti menjadi langkah proaktif awal yang menyelamatkan golongan sasar daripada kesan himpitan COVID-19.

Sesungguhnya, ‘kita jaga kita’ perlu kekal menjadi pegangan dan ingatan terbaik dalam mengenang 2020 yang kasar perlumbaannya. Selamat tahun baru!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here