EMPAT NELAYAN MELAWAN GELORA LAUT.

Pasir Puteh, Jan 2-

Empat nelayan bertarung nyawa dengan berenang melawan gelora laut sejauh 13 km selama lebih  14 jam ke Pulau Perhentian, Besut Terengganu untuk menyelamatkan diri selepas bot mereka karam dipukul ombak besar, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, bot yang sarat dengan pukat dan hasil tangkapan tersebut karam selepas dimasuki air laut kesan ombak besar setinggi empat meter ekoran hujan dan angin kencang.

Tekong bot berkenaan, Tuan Azhar Tengku Long, 47 berkata seorang lagi Ashaari Leh, 45 dipercayai berenang ke sebuah pulau berdekatan dan usaha mencari lelaki itu masih dijalankan.  

“Kami berenang selama 14 jam sebelum selamat mendarat di Pulau Perhentian pada pukul 4 pagi,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, di sini semalam.

Seorang mangsa terpaksa dibawa ke Hospital Besut kerana sesak nafas manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar.

Tuan Azhar berkata, mereka pada awalnya berhasrat mencari tempat perlindungan di sekitar pulau berdekatan namun gagal kerana keadaan ombak yang tinggi dan bergelora. 

“Syukur kami masih dipanjangkan umur dan selamat. Doakan  agar sahabat kami Ashaari dalam keadaan selamat dan moga segera ditemukan”.

“Ini adalah kejadian pertama sejak menjadi nelayan selama 26 tahun. Syukur kepada Allah SWT kerana kami selamat walaupun berenang dalam tempoh  yang lama amat memeritkan” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here