Anwar gesa kerajaan umum dana bantuan RM500 juta sepanjang PKP

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari mulai lusa sangat diperlukan bagi mengurangkan beban para petugas barisan hadapan, tetapi pengumuman Perdana Menteri hari ini akan terus mengesankan sektor perniagaan dan aktiviti ekonomi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan PKP sebelum ini sejak Mac tahun lalu menyaksikan sektor perniagaan dan aktiviti ekonomi masih belum pulih.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk lebih telus berhubung realiti kewangan dan ekonomi negara.

 Menurutnya, hal tersebut penting agar dana dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Ketua Pembangkang itu menegaskan banyak perniagaan, terutamanya PKS atau IKS masih belum menerima subsidi upah dan mungkin tidak lagi tertampung dengan kesan pandemik.

“Langkah terkini (PKP mulai 13 Januari) hanya menjadi titik kritikal pada perniagaan-perniagaan yang di ambang penutupan.

“Ramai yang akan kehilangan kerja. Ramai yang akan dihempap kemiskinan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa kerajaan mengumumkan segera peruntukan sebanyak RM500 juta untuk dua minggu seterusnya termasuk bantuan-bantuan lain seperti subsidi upah dan bantuan untuk perniagaan atau perusahaan yang terjejas.

Ahli Parlimen Port Dickson tersebut berkata, kerajaan juga mesti mengarahkan semua untuk segera melaksanakan kembali moratorium pinjaman sehingga diberitahu kelak.

Beliau yang juga Presiden PKR itu turut mengingatkan langkah dan pengumuman tersebut mesti dibuat segera.

Dalam masa sama, kata Anwar, selain kesan pandemik Covid-19, beberapa negeri juga kini dibebani dengan masalah banjir dan memerlukan bantuan segera.

“Pusat-pusat pemindahan sementara mesti dipantau rapi bagi memastikan pelaksanaan SOP yang ketat dan mencegah kewujudan kluster-kluster baru.

“Inilah masanya untuk menonjolkan kepimpinan yang bertanggungjawab, dan kerajaan harus sedar dari berkhayal supaya keadaan tidak semakin memburuk.

“Rakyat amat berhak dan memerlukan kepimpinan yang lebih baik dan tegas saat ini,” tambah Anwar lagi.

Petang tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam lusa hingga 26 Januari depan.

Enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here