Patuh perintah darurat demi menawan gelombang COVID-19

KERAJAAN telah mengambil pelbagai langkah untuk membendung pandaemik COVID-19.

Namun, pandemik itu terus menular dalam kalangan rakyat Malaysia. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes COVID-19 telah mencecah 2,000 sejak bermulanya tahun baru 2021.

Kes baharu meningkat saban hari dan tidak ada tanda lengkuk penurunan statistik. Kes kematian juga telah mencecah lebih 500 sehingga kini.

Sekiranya pola jangkitan ini diteruskan, maka kes jangkitan akan meningkat kepada paras bahaya di luar kawalan kerajaan.

Sehubungan itu, Kerajaan mengambil langkah bijak untuk mengisytiharkan perintah darurat sehingga 1 Ogos 2021.

Perintah darurat ini merupakan darurat pentadbiran di mana jentera kerajaan akan berjalan seperti biasa dalam memberi perkhidmatan asas kepada rakyat.

Perintah darurat ini bukan merupakan perintah berkurung tetapi lebih kepada kawalan pergerakan orang ramai seperti dilaksanakan sebelumnya iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, perintah darurat ini tidak membenarkan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang malah tiada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Kecil (PRK) diadakan dalam waktu darurat.

Rakyat perlu sedar bahawa darurat ini dikuatkuasakan bukan untuk menjaga atau melindungi kepentingan politik kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersandarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Ia jelas memberi kuasa kepada Baginda untuk mengisytiharkan darurat demi menjaga kepentingan dan kesihatan awam.

Timbul persoalan                                                                                                          

Timbul persoalan apakah perintah darurat akan membantu membendung pandemik COVID-19 dalam negara?

Meskipun sebelum ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pelbagai bentuk dikuatkuasakan mengikut beberapa fasa dalam negara sejak 18 Mac 2020 sebagai pendekatan untuk membendung penularan pandemik COVID-19, virus itu masih terus menular.

Meskipun lengkuk statistik kes COVID-19 menurun pada peringkat awal PKP dikuatkuasakan, namun mutakhir ini penularan terus meningkat dengan lebih pantas di seluruh negara terutamanya di negeri atau pusat bandar utama dalam negara.

Menurut kenyataan KKM malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), usaha membendung pandemik kini boleh terhalang malah gagal sekiranya pergerakan orang awam yang membawa virus COVID-19 tanpa disedari atau tanpa mengalami serta menunjukkan sebarang tanda-tanda yang berkaitan.

Dengan trend pihak kumpulan asymptomatic bergerak secara bebas dan luas, maka sukar bagi memutuskan rantaian sosial yang menjadi punca utama kepada tercetusnya pandemik COVID-19.

Sehubungan itulah perintah darurat dikuatkuasakan agar menghalang pergerakan orang awam termasuk healthy carrier secara bebas agar dapat memutuskan rantai rangkaian berjangkit dalam kalangan rakyat.

Rakyat perlu sedar bahawa hanya pengisytiharan perintah darurat oleh kerajaan sahaja akan berjaya menawan gejala COVID-19.

Usaha membendung pandemik COVID-19 adalah satu pertempuran yang berterusan oleh kerajaan bersama rakyat.

Justeru itu, usaha membendung pandemik COVID-19 hanya akan berjaya sekiranya rakyat selaku anggota dalam pasukan menentang musuh yang digelar COVID-19, sedar peranannya dalam membendung pandemik.

Sehubungan itu, barisan hadapan yang terdiri daripada anggota KKM sahaja tidak mampu mengawal pergerakan golongan symptomatic.

Di sebaliknya, hanya individu yang terdedah dengan virus COVID-19 sahaja boleh membantu untuk mencegah pandemik COVID-19 dengan amalan menjauhkan diri atau mengasingkan diri (stay at home) daripada bercampur atau bergaul secara bebas dalam masyarakat.

Dengan lain perkataan, perintah darurat akan membantu menghalang pergerakan orang ramai termasuk golongan symptomatic secara bebas dalam usaha memutuskan rangkaian hubungan yang menjadi punca utama penularan COVID-19.

Oleh itu, rakyat perlulah mengambil perhatian yang lebih serius terhadap perintah darurat yang diumum kerajaan dalam usaha membendung pandemik COVID-19.

Pemimpin komuniti juga perlu memainkan peranan dalam menyedarkan rakyat terhadap risiko pergerakan bebas yang boleh membantu penularan COVID-19.

Rakyat perlu sedar bahawa sekiranya perintah darurat pentadbiran menawan COVID-19 dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) diabai dan tidak ditepati, maka kemungkinan besar satu gelombang raksasa pandemik yang lebih teruk akan tercetus dan melanda negara sedikit masa lagi.

Pendek kata, tanggungjawab untuk melindungi diri bukan lagi semata-mata kepada kerajaan tetapi tanggungjawab rakyat sendiri.

Elakkan polemik terhadap pengisytiharan darurat sebaliknya bersama kerajaan ancaman COVID-19 habis-habisan kali ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here