CADANGAN NUBE

Kesatuan Nasional Pekerja Bank (NUBE) mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan peraturan pekerjaan darurat yang boleh menghalang mana-mana syarikat membuang pekerja dalam tempoh tertentu.

Ia susulan ancaman panndemik yang masih tinggi dikhuatiri meletakkan pekerja dalam risiko dihentikan perkhidmatan oleh majikan dalam tempoh tersebut.

Setiausaha Agong NUBE, J. Solomon berkata, sekiranya rakyat kehilangan mata pencarian dan kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk melindungi mereka, rakyat akan hilang kepercayaan kepada kerajaan.

“Perdana Menteri telah meyakinkan rakyat bahawa pemerintah akan terus melindungi mereka. Oleh itu, peraturan mendesak ini mesti dilaksanakan untuk melindungi kehidupan pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Solomon pernah mengutarakan cadangan sama ketika memegang jawatan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada April tahun lalu.

Menurut beliau, peraturan tersebut bukan sahaja memperuntukkan larangan pemecatan malah menghalang majikan memotong gaji atau memaksa pekerja mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tempoh pandemik.

Pandemik Covid-19 memberi kesan negatif yang ketara kepada trend pengangguran negara apabila kadar pengangguran tertinggi dicatatkan pada Mei tahun lalu pada 5.3 peratus dengan jumlah pengangguran dianggarkan pada 826,000 orang.

Walaupun kadar pengangguran menunjukkan pemulihan dengan data terbaharu menunjukkan ia berada pada kadar 4.8 peratus pada November 2020, pelaksanaan PKP di enam buah negeri bermula pada 12 Januari dikhuatiri mendatangkan impak sama seperti PKP tahun lalu.   

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here