Pakar WHO tiba di Wuhan, siasat asal usul COVID-19

Sepasukan pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiba di Wuhan semalam untuk me-mulakan siasatan yang begitu dipolitikkan ke atas asal usul COVID-19, manakala China melaporkan kematian per-tamanya akibat virus itu dalam tempoh lapan bulan.

Sepuluh saintis terbabit, yang mesti menjalani kua-rantin selama dua minggu di Wuhan sebelum mereka memulakan kerja, tiba untuk misi mereka yang kerap ditangguhkan untuk memeriksa asal usul pandemik.

Virus itu mula-mula dikesan di bandar raya Wuhan, bahagian tengah China, pada hujung 2019 dan sejak itu merebak ke seluruh dunia dan membunuh hampir dua juta orang setakat ini, menjangkiti puluhan juta dan merosakkan ekonomi dunia.

Badan penyiaran kerajaan CGTN menunjukkan pesawat yang membawa pasukan berkenaan tiba dari Singapura dan disambut oleh pegawai China yang memakai sut hazmat lengkap.

Lawatan mereka diadakan ketika lebih 20 juta manusia menjalani sekatan pergerakan di utara China dan sebuah wilayah sudah mengisytiharkan darurat, dengan jumlah COVID-19 yang meningkat selepas agak statik selama beberapa bulan.

China amnya sudah berjaya mengawal pandemik menerusi sekatan pergerakan yang ketat dan saringan besar-besaran, dan memuji kebangkitan ekonominya sebagai indikasi bagi kepimpinan yang tegas oleh pihak berkuasa Komunis.

Namun 138 jangkitan baharu dilaporkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Negara semalam – jumlah sehari yang tertinggi sejak Mac tahun lepas.

Kluster masih kecil jika dibandingkan dengan banyak negara lain yang bertarung dengan jangkitan berleluasa dan jumlah kematian yang memecah rekod, dan kematian pertama akibat virus itu dalam tempoh beberapa bulan, dilaporkan di wilayah utara Hebei, menimbulkan kecemasan di seluruh China.

Beijing ingin sekali menghapuskan kluster tempatan sebelum perayaan Tahun Baharu China pada bulan depan apabila ratusan juta penduduk akan melakukan perjalanan di seluruh negara.

Pihak berkuasa kesihatan tidak memberikan sebarang maklumat tentang kematian terbaharu kecuali ia berlaku di wilayah Hebei, di mana kerajaan telah meletakkan beberapa bandar di bawah sekatan pergerakan.

Selepas jangkitan mere-bak, negeri timur laut Heilongjiang mengisytiharkan keadaan darurat kelmarin, dan meminta 37.5 juta penduduknya untuk tidak me-ninggalkan wilayah tersebut jika tiada keperluan.

Selepas berita tentang ke-matian terbaharu muncul semalam, tanda pagar “Kematian virus baharu di Hebei” dengan pantas mendapat 100 juta tontonan di atas platform media sosial Weibo di China.

“Saya sudah begitu lama tidak melihat kata-kata ‘kematian virus’ ia sedikit mengejutkan! Saya harap wabak dapat berlalu tidak lama lagi,” tulis seorang pengguna.

Tiada kematian dilaporkan di tanah besar China sejak Mei tahun lepas, dan bilangan kematian rasmi sekarang adalah sebanyak 4,635.

Kematian terbaharu dilaporkan ketika China bersiap sedia untuk perhatian yang dibawa oleh ketibaan pasukan pakar saintis WHO.

Ketua pasukan bagi misi itu, Peter Ben Embarek, berkata kumpulan itu akan bermula dengan kuarantin mandatori di sebuah hotel menurut syarat imigresen China.

“Selepas dua minggu, kami akan dapat bergerak dan berjumpa dengan rakan sejawatan kami di China secara peribadi dan pergi ke berbagai tapak yang kami ingin lawati,” katanya.

Beliau memberi amaran, ia “mungkin perjalanan yang sangat lama sebelum kita dapat memahami sepenuhnya apa yang telah berlaku”.

Beijing telah menyatakan walaupun Wuhan adalah tempat di mana kluster kes pertama dikesan, ia tidak semestinya di mana virus itu berasal.

“Saya rasa kita tidak akan ada jawapan yang jelas selepas misi awal ini, tetapi kita akan sampai ke sana,” tambah Embarek.

Lawatan WHO yang sudah lama ditangguhkan diadakan lebih setahun selepas pandemik bermula dan mencetuskan ketegangan politik berhubung dakwaan bahawa Beijing cuba menggagalkan projek itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here