Polis Kelantan tubuh unit khas pantau laluan tikus

Polis Kelantan menubuhkan satu unit khas bagi memantau pengguna jalan raya yang cuba melepasi sekatan jalan raya (SJR) menggunakan ‘laluan tikus’ untuk memasuki negeri ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata anggota unit berkenaan yang berpakaian biasa akan ditempatkan di kawasan dikenal pasti bagi menahan mereka yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Di Pasir Puteh sahaja, kami mengenal pasti dua laluan tikus dan akan bekerjasama dengan polis Besut, Terengganu untuk memantau pergerakan di lokasi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi SJR di Balai Polis Bukit Yong di sini, semalam.

Katanya, sebanyak 3,315 kenderaan telah diperiksa di empat lokasi SJR di negeri ini melibatkan masing-masing satu di Pasir Puteh dan Jeli serta dua di Gua Musang sejak pelaksanaan PKPB.

“Dalam tempoh dua hari lepas, 84 kenderaan diarahkan berpatah balik kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap dan memberikan alasan kurang meyakinkan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here