Peniaga ubah strategi promosi jualan makanan, pastikan niaga bertahan

Deretan kedai makan di kawasan tumpuan di bandar Melaka yang lazimnya meriah dengan pengunjung untuk menikmati sajian ikonik seperti ‘Asam Pedas’ serta pelbagai menu, kini lengang dan hanya dipenuhi motosikal penghantar makanan.

Tinjauan Bernama di Monorail Food Village, Jalan Tun Ali di sini mendapati rata-rata peniaga terpaksa mengubah waktu operasi dan strategi promosi termasuk menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan secara dalam talian bagi memastikan kelangsungan perniagaan, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lepas.

Bagi Muhammad Azrul Rozelan, 34, operasi kedai makannya sebelum ini mula dibuka pada waktu petang hingga 12 tengah malam, namun sejak PKP, beliau membuat persediaan awal dengan menyiapkan menu yang dipesan pelanggan bermula pukul 11 pagi.

“Sebelum ini, perniagaan makanan nachos saya agak memberangsangkan tapi bila pelaksanaan PKP 2.0 ini, pendapatan saya boleh dikatakan menurun 50 peratus daripada jualan sebelum ini iaitu boleh meraih antara RM300 hingga RM600 sehari sahaja.

“Kita ambil inisiatif dengan mengubah cara berniaga memandangkan sebelum ini pengunjung memang ramai yang makan di kawasan ini, tetapi kini terpaksa menggunakan perkhidmatan penghantar makanan dalam talian untuk menampung kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui  di sini semalam.

Seorang peniaga ayam goreng pelbagai variasi, Nurazmira Nadia Ishak, 25, berkata jualan ketika ini agak perlahan namun beliau memanfaatkan penggunaan platform laman media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram bagi mempromosi produk makanan di kedainya.

“Saya banyak mempromosikan jualan di laman web pelancongan Melaka dan terpaksa mempelbagaikan cara promosi kerana dahulu kami bergantung kepada pengunjung yang datang ke tempat ini. Syukur, usaha ini berhasil, banyak juga yang menyokong perniagaan kami,” katanya.

Sementara itu, penjual air, Ali Ahmad, 50, berkata beliau bersyukur kerana rakan-rakan peniaga kedai makan di situ saling membantu dan menyokong dengan mempromosi jualan buah potong serta minuman di kedainya.

“Permintaan untuk minuman memang sangat kurang, mahu dapat RM50 sehari pun susah, tetapi mujur rakan-rakan di sini akan tolong promosi makanan bersama air, jadi syukurlah dapat sedikit sebanyak untuk tampung kehidupan,” katanya.

Bagi Muhammad Azan Muhammad Syafie, 26, pesanan makanan terakhir yang akan diterimanya adalah pada 7 malam namun jumlah pesanan waktu hujung minggu sangat kurang berbanding hari biasa kerana orang ramai duduk di rumah dan masak sendiri.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 Januari, dengan sebahagian aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 8 malam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here