Dua sepupu diberkas susulan rampasan syabu RM2.4 juta

Polis Melaka memberkas dua lelaki susulan rampasan 15 bungkusan dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 15.78 kilogram bernilai kira-kira RM2.4 juta, dalam rondaan cegah jenayah berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Lereh di sini pada Khamis lepas (14 Jan).

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata suspek pertama berusia 39 tahun ditangkap ketika cuba melarikan diri selepas mencampakkan beg yang dibawanya semasa terserempak dengan anggota polis yang melakukan rondaan pada kira-kira jam 7.05 malam pada hari berkenaan.

“Lelaki itu yang berjalan kaki bertindak mencampak beg yang dibawanya ketika dihampiri anggota polis. Pemeriksaan ke atas beg itu menemukan 15 bungkusan mampat berbalut pembungkus teh Cina yang dipercayai mengandungi dadah, serta wang tunai berjumlah RM3,400, dipercayai hasil jualan dadah,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut ke atas penganggur itu, polis menangkap seorang lagi suspek berusia 37 tahun di Bukit Puchong, Selangor serta menyita wang tunai RM21,800 pada 4 pagi kelmarin.

Kedua-duanya merupakan saudara sepupu yang berasal dari Selangor, katanya.

Abdul Majid berkata siasatan lanjut polis mendapati dadah berkenaan diperoleh dari negara jiran dan dibawa masuk melalui jalan tikus melibatkan sindiket rentas negeri dan dipasarkan di Selangor, Melaka serta Johor.

“Suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk lima rekod dadah dan direman selama tujuh hari bermula Jumaat (15 Jan) lepas manakala suspek kedua yang tidak mempunyai rekod jenayah direman selama tujuh hari bermula semalam (kelmarin).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here