SERANGAN SIBER

Petaling Jaya, Jan 26-

 Satu notis amaran dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada semua agensi kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

Amaran menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) itu dilakukan selepas penularan satu video di media sosial dikeluarkan oleh ‘Anonymous Malaysia’ baru-baru ini yang menyentuh beberapa isu serangan siber menjurus kepada ancaman untuk menggodam laman web kerajaan.

MKN dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyelaras maklumat untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, jelas kenyataan itu, kerajaan sentiasa memandang serius, mengambil berat dan memberi keutamaan terhadap keselamatan infrastruktur teknologi maklumat serta sistem kritikal negara.

 “Tindakan ini jelas digariskan menerusi Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

“Strategi ini menggariskan tindakan bagi mengukuhkan sistem ICT (teknologi komunikasi dan maklumat) serta sistem kritikal negara termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai berkaitan,” jelas kenyataan itu.

Semalam, pengguna Facebook itu menerusi video dimuat naik berdurasi dua minit 29 saat antara lain mendakwa, serangan siber terhadap rangkaian data milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini berpunca kerana kerajaan tidak menyokong usaha membangunkan sektor teknologi maklumat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here