Arahkan institusi kewangan memberikan moratorium– Asyraf

Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan agar memanfaatkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 sebagaimana yang telah dimasyhurkan untuk mengarahkan institusi kewangan memberikan moratorium secara automatik kepada kumpulan tertentu tanpa mengenakan sebarang caj tambahan ataupun keuntungan terakru.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, apa guna Proklamasi Darurat jika tidak dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.

”Apa guna Ordinan Darurat jika pihak-pihak tertentu dibiarkan mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat?,” soalnya dalam hantaran di Facebook.

Katanya, Pemuda UMNO Malaysia menerima terlalu banyak aduan dan maklum balas orang ramai yang mengadu bank-bank dan institusi kewangan tetap mengenakan caj tambahan, keuntungan terakru ke atas bayaran ansuran setelah moratorium diberikan.

Soalnya, di mana jaminan Menteri Kewangan pada bulan lima lepas yang mengeluarkan kenyataan bahawa tiada caj tambahan dikenakan setelah berunding dengan industri bank.

Malah banyak juga aduan yang menzahirkan moratorium yang ditawarkan oleh bank-bank kali ini bukanlah penangguhan pembayaran balik tanpa caj tambahan, tetapi seperti penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman, yang mana tempoh bayaran balik dipanjangkan dengan kadar pembiayaan yang lebih tinggi dikenakan.

”Ini bagaikan mengambil kesempatan dalam kesempitan rakyat!,” tegas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here