HUKUMAN LEBIH BERAT KEPADA PESALAH RASUAH

SHAH ALAM- Penganalisis jenayah menyuarakan kebimbangan apabila Malaysia turun enam anak tangga iaitu di tempat ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020.

Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, kerajaan perlu segera mengambil langkah baharu termasuk meminda hukuman lebih berat terhadap pesalah rasuah bagi memulihkan semula maruah negara dan kedudukan ekonominya.

“Kalau jatuh enam anak tangga, negara lain melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak baik daripada segi CPI di dunia. Kerajaan perlu segera mengubah pandangan itu.

“Kalau hendak pulihkan semula negara dan kedudukan ekonomi, kerajaan perlu mengambil tindakan baharu termasuk meminda hukuman lebih berat terhadap pesalah rasuah.

“Malah sebelum ini ada yang meminta dan mencadangkan agar hukuman bunuh dikenakan. Jika ia perlu, kita tukar,” katanya.

Dalam CPI tahun 2019, Malaysia di kedudukan 51 dengan skor 53 iaitu skor terbaik negara sejak tujuh tahun lalu.

“Negara dinilai daripada sifar hingga 100 di mana sifar dianggap paling korup dan 100 untuk negara bersih dan telus.

Shahul Hamid berkata lagi, beliau mengakui faktor politik amat mempengaruhi kejatuhan kedudukan CPI.

Katanya, terdapat perbezaan ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Ia bergantung rapat dengan politik negara. Politik era PH dan PN berbeza. Apabila PH ambil alih kerajaan, mereka cuba hapuskan rasuah, tangkap dan bawa pesalah ke mahkamah.

“Namun, kerajaan PN banyak mengundang persepsi negatif rakyat dalam soal ketelusan termasuk pelantikan ahli politik mengetuai syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.

Beliau menyarankan kerajaan mengkaji semula semua bentuk Prosedur Operasi Standard (SOP) pemberian apa juga tender melibatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here