MENUJU KE ARAH KUALA LUMPUR 2024

Kuala Lumpur, Jan 30

Kerajaan digesa menubuhkan Jawatankuasa Bipartisan Kuala Lumpur 2024 bertujuan menjadikan ibu negara ini sebagai bandar raya kelas dunia yang mempunyai perancangan teratur mengikut piawaian antarabangsa. 

Penubuhan jawatankuasa itu antara lain menggubal dasar dan perancangan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang untuk pentadbiran lebih baik serta menetapkan visi baharu bagi rakyat di sini. 

Kenyataan bersama itu hadir melibatkan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr. Tan Yee Kew; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh. 

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan bersama lapan Ahli Parlimen pembangkang yang lain, beliau menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk menetapkan hala tuju pembangunan dan pentadbiran Kuala Lumpur lebih jelas selain menyeru agar beliau mewujudkan kerjasama di antara agensi bertanggungjawab bersama pembangkang ke atas pembangunan ibu negara ini. 

“Kami telah dipilih secara sah oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan mempunyai keabsahan untuk mewakili suara rakyat Kuala Lumpur dan mengangkat masalah dihadapi di kawasan Parlimen kami kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahupun kerajaan Persekutuan. 

“Kerajaan berkali-kali mengeluarkan perancangan ini namun gagal kerana bekas menteri daripada Barisan Nasional (BN) khsusnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor enggan melaksanakan dan mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur yang digubal oleh pakar perancangan bandar. 

“Sebaliknya, beliau telah meluluskan banyak projek pembangunan yang mempunyai kepadatan tinggi di tapak yang tidak sesuai di sini sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dan ini telah menghuru-harakan segala perancangan yang diatur,” katanya di sini hari ini. 

Pada 2018, DBKL melalui Blueprint Penarafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yakin mampu menjadikan ibu negara ini sebagai bandaraya terbersih di dunia menjelang 2020 bagaimanapun, usaha ke arah itu dilihat belum berhasil. 

Dalam perkembangan lain, Fahmi turut menyeru kerajaan untuk melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan di Kuala Lumpur melihat kepada kesesuaian, belanjawan dan populasi yang tinggi serta tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN). 

“Sekiranya pilihan raya ini diwujudkan, sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan menghapuskan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan tujuan mengelakkan pertindihan bidang kuasa dalam pentadbiran Kuala Lumpur,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here