COVID-19: SEKTOR PERKHIDMATAN PELANCONGAN TURUT TERKENA TEMPIAS

Pengusaha sektor pelancongan berkata kelewatan menerima sebarang bantuan akan menyebabkan sektor pelancongan sukar untuk dipulihkan.

 

Bercakap kepada Makkal Osai, Sridharen, 43, berkata negara memerlukan tempoh masa yang sangat panjang bagi memulihkan semula industri pelancongan sekiranya pengusaha yang terlibat dalam industri ini terus dipinggirkan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0) ini. 

Sridharen yang mula menceburi industri pelancongan pada awal awal tahun 2018, merupakan pengusaha sektor pelancong dalam dan luar negeri serta pelancong asing.

Jelasnya, dia kini telah mula beralih ke arah ke industri lain bagi menampung perbelanjaan.

“Saya sama sekali tidak mengatakan bahawa industri ini merugikan. Industri pelancongan akan memberikan hasil yang lumayan dengan usaha serta kerja keras.

“Saya mempunyai 3 buah van persiaran. Kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara pada awal tahun lepas menyebabkan sektor pelancongan sangat teruk terjejas. Pengusaha industri pelancongan adalah di antara yang sangat terkesan.

“Bukan sahaja pengusaha van persiaran, bas persiaran malah syarikat penerbangan, hotel, agensi pelancongan, pemandu pelancong, pembekal dan penjual cenderamata, restoran khususnya yang beroperasi di tempat tarikan pelancong dan pengusaha tempat tarikan pelancong turut terjejas teruk.

“Perkara ini berlaku bukan kerana pandemik Covid-19 sahaja, malah pada masa yang sama tiada sebarang bantuan daripada kerajaan untuk yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri ini,” katanya.

Menurut timbalan setiausaha Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas (GAPP Bas Malaysia) itu, kebanyakan pengusaha industri pelancongan kini mula beralih arah ke sektor lain .

Katanya, punca utama pengusaha industri pelancongan mula beralih arah ke bidang lain adalah kerana tekanan akibat bebanan hutang dan tiada sebarang bantuan daripada pihak kerajaan kepada syarikat-syarikat pelancongan.

“Saya sendiri telah mula menceburi sektor perkhidmatan e-hailing kerana terpaksa membayar balik ansuran pinjaman kenderaan dan menanggung bebanan hutang yang lain.

Menurutnya lagi, antara keluhan lain adalah sektor pelancongan tidak mendapat layanan yang sama dan adil daripada kerajaan.

“Kami tidak minta kerajaan memberi bantuan dana khas RM100,000 atau RM1 juta. Kami hanya memohon pihak kerajaan memberikan moratorium daripada syarikat kredit dan juga pinjaman bank untuk penyelenggaraan van persiaran yang tidak beroperasi.

“Kami telah membuat perjumpaan dengan agensi-agensi pembelian kenderaan malah sehingga kini masih tidak mendapat sebarang progresif daripada mana-mana pihak.

“Apa yang pasti kelewatan menerima sebarang bantuan akan menyebabkan sektor pelancongan sukar untuk dipulihkan selepas tamatnya pandemik. Ini kerana pengusaha telah pun mula beralih arah ke perniagaan lain.

“Saya berharap agar kerajaan dapat membantu pengusaha pelancongan yang  menceburi bidang pelancongan ini dalam masa terdekat atau terpaksa bergantung dengan pengusaha yang baru serta akan mengambil masa yang lama untuk mahir dalam industri ini kerana industri pelancongan merupakan sektor kedua terbesar dari segi pendapatan negara” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here