NICOL DAVIL DIANUGERAH SEBAGAI PEMAIN TERUNGGUL ZAMAN

Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman sukan dunia.

Sebaik undian ditutup pada jam 9 malam pada Isnin, Nicol ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila menerima 318,943 undian yang diadakan secara dalam talian sejak 8 Januari lalu.

“Ini adalah satu penghormatan buat diri saya apabila dicalonkan untuk Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman. Saya berterima kasih menerima sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia serta komuniti skuasy.

“Ia sesuatu yang agak mengejutkan untuk saya disenaraikan bersama atlet terkemuka dunia yang lain. Saya rasa bersyukur dan diharapkan kejayaan ini mampu menarik perhatian dunia terhadap sukan skuasy.

“Saya berbangga dapat mewakili negara saya dan Asia,” katanya yang muncul sebagai atlet tunggal dari Asia yang dicalonkan bagi anugerah berprestij itu.

Nicol mencipta sejarah tersendiri apabila bergelar pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut sepanjang kariernya.

Jumlah undian yang diterima Nicol itu jauh meninggalkan pencabar utamanya yang juga legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang menerima 113,120 undian untuk berada di tempat kedua.

Legenda powerlifting Ukraine, Larysa Soloviova pula berada di kedudukan ketiga dengan 80,790 undian.

Anugerah terbabit dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan untuk ulang tahun ke-40 acara sukan dunia.

bekas pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun berturut-turut itu mengatasi 23 atlet lain yang mewakili sukan masing-masing daripada kesemua edisi Sukan Dunia selama 40 tahun itu.

“Ini adalah saat yang membanggakan untuk mewakili negara saya dan Asia,” demikian reaksi bekas atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 37 tahun itu.

“Saingan ini adalah luar biasa dan bagus untuk melihat bagaimana atlet mendapat sokongan bukan sahaja dari sukan mereka sendiri tetapi juga negara mereka dan pihak berkuasa sukan di sana. Sukan benar-benar menyatukan rakyat dengan cara yang istimewa,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) Zena Wooldridge berkata kejayaan Nicol adalah pengiktirafan terhadap karier luar biasa yang menyaksikannya mencipta pelbagai rekod dan memenangi semua gelaran yang ditawarkan dalam sukan itu.

Sebagai rekod, pemain hoki dari India, Ritu Pani memenangi anugerah tersebut bagi edisi 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here