KAKAK LUMPUH SETELAH DIPUKUL OLEH ADIK

Sibu, Feb 3

Seorang lelaki tergamak memukul kakak kandungnya dengan penyapu hingga wanita itu lumpuh dan terkehel tulang belakang di rumah mereka di Jalan Sungai Antu, Sibu pada 22 Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa yang berusia 49 tahun itu lumpuh dari paras dada ke kaki selepas terkehel tulang belakang hingga saraf tunjangnya tertekan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, siasatan mendapati, suspek berusia 44 tahun telah meminta wang dan mangsa yang enggan menunaikan permintaan itu.

“Berang akan desakan adiknya itu, mangsa mengambil batang penyapu lalu memukul suspek sebelum lelaki itu merampas penyapu berkenaan dan memukul kepala, badan serta belakang wanita berkenaan sebelum terjatuh.

“Sebaik sahaja jatuh terlentang, suspek terus memukul badan mangsa sebelum dileraikan ibunya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Stanley, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sibu dan akan menjalani pembedahan tulang belakang.

Susulan itu katanya, polis menahan suspek pada jam 2.10 petang semalam dan akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

“Kes akan dirujuk kepada Pegawai Perlindungan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim ke atas mangsa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here