KEKHUSYUKAN SEORANG PEMUDA DALAM PENJUALAN BUKU SECARA FIZIKAL YANG SEMAKIN KELAM.

Petaling Jaya, Feb 3

 J. Kiridaren, 29, mengambil kesempatan atas kerinduan peminat buku yang sudah berbulan tidak merasai pengalaman membeli buku secara fizikal, dia membuat keputusan untuk membuka sebuah kedai buku fizikal di Petaling Jaya.

Jualan produk fizikal termasuk buku dan bahan penulisan lain dilihat semakin kelam sejak beberapa tahun ini. Dengan adanya teknologi pemasaran dan bahan bacaan digital, buku-buku fizikal semakin sukar dijual.

Ketika pandemik Covid-19 bermula, segala tentang digital mula mendapat perhatian. Manusia mengehadkan interaksi fizikal dan jalan digital lebih mendapat sambutan.

“Ia sebuah kerja gila kerana ketika itu, sudah berkumandang berita penutupan beberapa cawangan kedai buku gergasi seperti MPH dan Popular di seluruh negara” kata graduan Universiti Tunku Abdulk Rahman(UTAR) yang mula menjual buku-buku sejak menuntut.

“Walaupun pembelian secara dalam talian masih tinggi dan relevan tetapi saya melihat ada peluang untuk orang ke kedai buku kerana mereka merindui pengalaman membeli buku secara fizikal,” katanya mengimbau detik membuat keputusan untuk membuka Kedai Buku The Bibliophile di Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya.

Ketika itu, dia yang sering berkongsi ulasan buku di Facebook mula menarik minat beberapa individu yang mahu mendapatkan buku yang dibacanya. Bermula dari situ, dia mula menawarkan khidmat membeli buku yang kebanyakannya bertema falsafah, ideologi dan sosiologi.

Khidmat yang ditawarkan itu kemudiannya dijenamakan sebagai The Bibliophile melalui penubuhan laman Facebook dengan nama sama pada 16 Februari 2018.

“Ketika itu saya ditawarkan bekerja dengan kedai buku Gerakbudaya dan dari situ saya terfikir, kenapa tak mulakan syarikat sendiri?

“Hala tuju waktu itu sudah ada tetapi tidak tahu apa cara untuk memulakan perniagaan dan menjadikannya besar.

“Perniagaan ini paling berkembang pada 2019 apabila saya mula menerima tempahan untuk pembelian buku di Indonesia dan tahun lalu, saya bertekad untuk buka akaun syarikat,” katanya.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu membawa hikmah kepada The Bibliophile apabila tempahan buku secara dalam talian meningkat sehingga 230 peratus. Wang keuntungan tersebut bersama beberapa pinjaman daripada ahli keluarga yang digunakan Kiridaren untuk membuka Kedai Buku The Bibliophile.

Selain itu, Kiridaren turut berjaya mengembangkan lagi perniagaannya dengan penubuhan The Biblio Press pada Oktober tahun lalu, sayap penerbitan untuk The Bibliophile.

Setakat ini, The Biblio Press telah menerbitkan lima buku terjemahan dan berhasrat untuk menterjemahkan 1,000 karya asing ke dalam bahasa Melayu.

“Matlamat utama saya adalah untuk membangunkan wisma sendiri, Wisma The Bibliophile.

“Saya letakkan matlamat itu kerana teruja melihat Wisma Gramedia di Indonesia. Ada pejabat yang sangat cantik dan di bawahnya ada kedai buku,” katanya yang meletakkan tempoh sedekad bagi mencapai matlamatnya itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here