KEMUNGKINAN BESAR BUKU TOMMY THOMAS AKAN DIHARAM OLEH KDN

Shah Alam, Feb 5 – Buku tulisan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, ‘My Story: Justice in The Wilderness’ kini dalam pemerhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mungkin diharamkan jika diputuskan menteri.

Menerusi portal Free Malaysia Today (FMT), sumber KDN memberitahu, buku itu diteliti oleh bahagian penguatkuasaan dan kawalan KDN.

“Mereka sedang siapkan laporan untuk diserahkan kepada menteri. Pihak menteri mempunyai kuasa untuk mengarahkan buku itu diharamkan,” katanya ringkas.

Semalam, bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali membuat laporan polis terhadap Tommy atas dakwaan melakukan tiga kesalahan bawah Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Apandi berkata, Tommy turut mendedahkan beberapa perkara sulit yang masih tertakluk di bawah undang-undang kerahsiaan negara, termasuk perbincangan dalam mesyuarat Kabinet dan urusan berkaitan jawatannya selaku Peguam Negara ketika itu.

Beliau berkata, pendedahan Tommy merupakan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, kertas siasatan sudah dibuka terhadap Tommy berhubung dakwaan memfitnah.

Katanya, ia selepas polis menerima laporan daripada bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Mohamad Hanafiah Zakaria dan akan memanggil Tommy dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Buku setebal 500 muka surat itu menceritakan pencapaian dan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu antara isu utama lain seperti pendakwaan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho dan 1MDB, ekstradisi pendakwah kontroversi, Zakir Naik dan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here