FASA PEMULIHAN AIRASIA BERJALAN DENGAN BAIK

Kuala Lumpur, Feb 10-

AirAsia Group Bhd (AirAsia) menjalani fasa pemulihannya dengan sangat baik apabila metrik operasi utama meningkat pada suku keempat 2020 berbanding suku sebelumnya.

Ia khususnya dengan peningkatan ketara jumlah penumpang yang dibawa oleh AirAsia Thailand, AirAsia Filipina dan AirAsia Indonesia.

AirAsia berkata, peningkatan jumlah penumpang yang dicatatkan menandakan pemulihan domestik kukuh untuk permintaan perjalanan udara di seluruh pasaran operasi utama kumpulan penerbangan tambang rendah itu.

Ia berkata, 2020 adalah tahun berdaya tahan untuk kesemua empat sijil pengendali udara (AOC), kerana setiap entiti bekerja keras untuk mengatasi cabaran yang dihadapi dan secara bersama-sama membawa 23 juta penumpang.

“Menjelang Disember, empat AOC pulih hampir 60 peratus kapasiti domestik pra-COVID.

“Pasca COVID-19, kumpulan menjangka mendapat manfaat daripada operasi syarikat penerbangan yang lebih mantap dan mengoptimumkan operasi penerbangan yang ditubuhkan pada 2020, menumpukan pemulihan laluan yang paling menguntungkan dan popular sambil meneroka peluang untuk memperoleh penguasaan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

AirAsia Malaysia menutup suku keempat 2020 dengan jumlah penumpang dibawa sebanyak 834,934 selain faktor muatan yang sihat pada 72 peratus meskipun terdapat kemerosotan pada Oktober dan November susulan pelaksanaan larangan perjalanan merentas negeri.

AirAsia Indonesia mencatatkan pemulihan yang kukuh pada suku keempat 2020, dengan jumlah penumpang yang dibawa lebih lima kali ganda dari suku ke suku kepada 389,283 penumpang, sementara faktor muatan meningkat kepada 59 peratus, naik 10 mata peratusan berbanding suku ketiga 2020.

Sementara itu, AirAsia Filipina membawa 117,948 penumpang pada suku keempat 2020 dan melaporkan faktor muatan sebanyak 64 peratus.

Dari asas bulan ke bulan, jumlah penumpang AirAsia Filipina meningkat sekali ganda sementara kapasiti operasi domestik meningkat lima mata peratusan kepada 13 peratus pada Disember berbanding September.

Prestasi AirAsia Thailand terus meningkat pada suku keempat 2020, berikutan permintaan perjalanan domestik yang kukuh susulan musim perayaan dan insentif perjalanan dari kerajaan.

Operasi AirAsia Thailand pada suku dikaji mengatasi jangkaan kerana melebihi kapasiti domestik pra-COVID sebanyak tujuh peratus.

Pada Disember 2020, AirAsia Thailand beroperasi dengan 116 peratus kapasiti domestik pra-COVID, berbanding 96 peratus pada September 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here