NUTP SYOR PdPR DITANGGUHKAN

Kuala Lumpur, Feb 10-

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu ditangguhkan kerana ia dilihat menambah bebanan murid, guru dan ibu bapa.

Penangguhan itu perlu selepas mengambil kira hasil dapatan kajian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berhubung PdPR 2.0 yang terpaksa dihadapi hampir keseluruhan pelajar ketika ini.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, berkata antara dapatan kajian ialah ibu bapa terbeban kerana sukar membantu anak belajar, lambakan kerja sekolah, sukar berkongsi peranti dan tekanan golongan keluarga B40.

Katanya, pihaknya mendapati seramai 14,043 responden menolak PdPR 2.0 dan seramai 16,554 responden yang juga ibu bapa memohon Kementerian Pendidikan (KPM) menambah baik kaedah pembelajaran itu.

“Antara maklum balas yang diterima adalah murid tidak biasa untuk belajar dari jam 7.30 hingga jam 1 tengah hari di hadapan komputer atau telefon bimbit, mengurangkan subjek pembelajaran dan penggiliran murid sekolah rendah dan menengah bagi membolehkan pelajar berehat.

“Malah, ramai murid tiada peranti kerana keluarga berpendapatan rendah mempunyai ramai anak serta capaian internet yang perlu dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Harry Tan berkata, maklum balas yang diterima ibu bapa adalah berkaitan bebanan untuk membantu dalam pembelajaran, terutama mereka yang membabitkan golongan tidak berpelajaran tinggi.

Selain itu, katanya, mereka beranggapan PdPR terlalu membebankan murid dengan lambakan kerja sekolah.

Katanya, murid juga tidak fokus kerana tidak faham apa yang diajar guru, malah guru sendiri tidak dapat meneliti tahap kebolehan murid.

“Responden juga berkata, murid terpaksa berkongsi peranti kerana bilangan adik beradik yang ramai, khususnya ketika pertindihan masa pembelajaran dan tekanan kepada keluarga B40 untuk mendapatkan peranti tambahan,” katanya.

Harry Tan berkata, merujuk kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2-13-2015) yang menetapkan setiap murid perlu mendapatkan akses pendidikan untuk mencapai potensi diri bagi menghadapi masa depan.

Katanya, mereka berhak mengikuti pendidikan meskipun tidak hadir ke sekolah.

“KPM harus memikirkan pendekatan terbaik bagi meneruskan pembelajaran anak di rumah dengan tidak menambah bebanan dan tekanan kepada murid dan perlu memudahkan serta menambah baik PdPR versi 1 yang semakin diterima baik oleh murid dan ibu bapa,” katanya.

Katanya, NUTP turut mengesan KPM tidak mematuhi panduan tempoh layar maksimum dalam pelaksanaan PdPR 2.0 yang memperuntukkan masa selama lima jam setengah iaitu bermula jam 7.30 pagi hingga 1 tengah hari.

“Berdasarkan sumber www.eyepromise.com yang merujuk The American Academy of Pediatrics (AAP) dan Kesatuan Kesihatan Dunia (WHO), tahap persekolahan bagi murid prasekolah adalah selama satu jam, rendah (satu ke dua jam), menengah rendah (dua ke tiga jam) dan menengah atas (tiga ke empat jam),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here