VETERAN PERANG UJANG MORMIN MENEMUI AJAL

Seremban, Feb 10-

Veteran Perang Dunia Kedua Ujang Mormin, 100, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor, petang semalam.

Berita duka itu disahkan cucu saudara perempuannya Lailawati Jamil, 59, ketika dihubungi, yang berkata Ujang meninggal dunia pada 5.05 petang.

Menurutnya, Ujang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Jan selepas dikesan positif Covid-19.

“Pihak hospital telefon saya empat hari lepas memaklumkan arwah sudah kritikal, dan sejak itu, setiap hari saya mengikuti perkembangan keadaannya menerusi panggilan video dan semalam pun saya sempat tanya keadaan atuk lagi”.

“Sebelum ini arwah ada meluahkan kerinduan untuk berjumpa sanak saudara dan kawan-kawan, seakan-akan arwah tahu masanya dah tiba, tapi kerana keadaan Covid-19 ketika ini, kami tidak dapat menziarahinya, saya rasa agak terkilan,” katanya.

Lailawati berkata, kali terakhir beliau berjumpa Ujang pada awal Januari di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

Menyifatkan Ujang seorang yang baik hati, pemaaf dan senang berkawan, Lailawati berkata kematian datuk saudaranya kehilangan besar kepada keluarga.

Ujang yang berasal dari Kampung Kundur, Rembau, pernah bersama legenda wira perang Leftenan Adnan Saidi ketika menentang tentera Jepun.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here