POLIS MENAHAN 3 INDIVIDU TERMASUK IBU

Kuala Lumpur, Feb 11-

Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan anak lelakinya kerana disyaki mengedar pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM8,000 di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, wanita warga tempatan berusia 49 tahun dan anaknya berumur 25 tahun itu ditahan dalam serbuan di kawasan Jalan Gasing, PJS 10 pada 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis merampas sejumlah heroin anggaran nilai RM1,600, syabu dan sebuah kereta Hyundai Atos.

“Dua beranak ini dipercayai menjalankan kegiatan itu di Kuala Lumpur dan Selangor sejak setahun lalu. Semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki mempunyai tujuh rekod kes dadah manakala suspek wanita mempunyai tiga rekod kes dadah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat risikan daripada serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun di kawasan Sungai Way pada 8.30 malam semalam.

“Menerusi serbuan itu, polis merampas dadah jenis ganja dengan anggaran berat dua kilogram bernilai RM7,000 dan sebuah kereta jenis Honda Insight bernilai RM32,000,” katanya.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing semua suspek adalah negatif dan mereka direman tujuh hari bermula hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here