Polis siasat anggota mesej wanita lepas tahan di sekatan jalan

Polis sedang menyiasat berhubung kejadian seorang anggota polis yang dikatakan mengambil maklumat peribadi seorang wanita di sekatan jalan sebelum mengirim mesej untuk “berkenalan”.

Dalam ciapan di Twitter, akaun rasmi polis, @PDRMsia membalas ciapan yang dikirim akaun @nnnadzifah, yang menceritakan kejadian itu.

“Salam hormat saudari. Kami mengambil maklum isu tular ini. Pohon saudari nyatakan hari, waktu dan lokasi tepat sekatan jalan raya yang dimaksudkan bagi tujuan semakan lanjut kami. Terima kasih,” tulis ciapan balas akaun Twitter polis itu.

Wanita itu sebelum ini menceritakan bahawa dia ditahan di sekatan jalan di mana seorang anggota polis yang bertugas menahannya dan mencatat maklumat peribadinya termasuk nombor telefon.

Selepas memaklumkan dia hendak pergi membeli barang, dia dibenarkan beredar. Namun, menurutnya, dia kemudian dihubungi oleh seseorang yang mendakwa merupakan anggota polis yang menahannya di sekatan jalan tadi.

Bertanya kenapa dia dihubungi, balasan yang diterima adalah: “Sajalah, nak kenal, boleh?”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here