BUKU PANDUAN PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN DILANCARKAN HARI INI.

Kuala Lumpur, Feb 16-

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini, mengandungi pelbagai maklumat berkaitan program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan negara berikutan pandemik COVID-19.

Majlis pelancaran berkenaan dijadual bermula 9.30 pagi ini yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia dan beberapa stesen televisyen tempatan negara.

Orang ramai juga boleh membaca buku panduan berkenaan menerusi laman web yang akan dilancarkan serentak dengan pelancaran buku berkenaan.

Kandungan buku berkenaan antara lain mengandungi jenis-jenis vaksin yang digunakan kerajaan, fasiliti disediakan untuk menyimpan vaksin di seluruh negara, pengambilan vaksin dari sudut pandangan agama serta panduan imunisasi.

Semalam, menerusi infografik yang dimuat naik oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pelan imunisasi itu merangkumi penerangan mengenai empat komponen utama iaitu bekalan vaksin, kumpulan sasaran fasa pemberian vaksin, lokasi dan kaedah pelaksanaan program serta tenaga kerja pelaksanaan program imunisasi berkenaan.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilaksanakan secara tiga fasa mulai hujung bulan ini, dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Ahli Parlimen dan Adun termasuk dalam golongan pertama yang akan menerima vaksin Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Selain daripada mereka adalah petugas barisan hadapan, iaitu kakitangan kesihatan dan penguatkuasaan.

Muhyiddn memaklumkan perkara itu dalam ucapan pelancaran buku panduan program imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di Putrajaya hari ini.

Fasa pertama dijangka berjalan sehingga Mei.

Fasa kedua pula, yang bermula pada Jun, akan memberi tumpuan kepada golongan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19, antaranya warga emas mereka yang mengalami masalah morbiditi.

Warga Malaysia yang lain dijangka menerima vaksin pada fasa ketiga, yang bermula Ogos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here