SERBUAN DI SEBUAH INAP KERANA INGKAR PKP

Batu Pahat, Feb 16-

Seramai 11 lelaki dan lapan wanita yang berkumpul di sebuah rumah di Taman Suria di sini, kelmarin ditahan polis kerana berjudi dan dikompaun selepas didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat membuat serbuan pada 11.45 malam dan menahan mereka yang berusia 20 hingga 42 tahun.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan mendapati seramai 19 orang berada di dalam rumah berkenaan, dengan 11 daripada mereka leka bermain judi.

“Sebanyak 104 daun terup dan wang tunai RM2,612 turut dirampas pihak polis, manakala kesemua tangkapan dibawa ke IPD Batu Pahat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati rumah berkenaan adalah sebuah inap desa yang disewa oleh seorang daripada mereka untuk tempoh tiga hari.

“Tujuan asal menyewa rumah berkenaan adalah untuk meraikan sambutanTahun Baru Cina bersama rakan-rakan yang datang dari sekitar daerah ini, Kluang dan Seremban.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan kesemua mereka dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP mengikut Peraturan 16(1) Peraturan Pengawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here