LEGISLATIF DILUMPUHKAN-SURAT AZALINA

Cabang legislatif telah dilumpuhkan akibat keputusan eksekutif untuk menggantung Parlimen, kata Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said dalam sepucuk surat kepada Peguam Negara Idrus Harun.

Menurut Azalina, ia menyebabkan cabang eksekutif seolah-olah mentadbir secara bebas dalam hal ehwal negara dan tidak dipertanggungjawabkan kepada Parlimen.

Dalam surat itu, Azalina berkata dia bingung mengapa Malaysia sama ada tidak dapat atau tidak mahu berusaha melaksanakan sidang Parlimen seperti negara lain, seperti dengan mengurangkan penyertaan ahli Parlimen, menggunakan waktu sidang yang anjal, mahupun menyiarkan persidangan kamar kha

Antara langkah yang boleh diambil, katanya, seperti mengurangkan bilangan Ahli Parlimen yang menghadiri persidangan, menetapkan tempoh persidangan yang fleksibel, dan menyiarkan prosiding Dewan.

“Kerajaan memilih untuk menggantung sidang Parlimen sama sekali, daripada mencari cara supaya prosiding Parlimen boleh dilakukan,” katanya dalam surat kepada Peguam Negara Idrus Harun.

Tidak cukup dengan itu, katanya, Jabatan Peguam Negara menasihati kerajaan supaya menghentikan semua kegiatan jawatankuasa Parlimen, termasuk jawatankuasa pilihan khasnya, walaupun secara maya.

Dengan fungsi cabang perundangan lumpuh dan kegiatan jawatankuasa pilihan khas dihentikan, katanya, cabang eksekutif nampak seperti bebas memerintah hal ehwal negara sepanjang darurat berkuatkuasa.

“Lebih membimbangkan bagi demokrasi berparlimen adalah sebarang pengisytiharan darurat, atau sebarang ordinan yang diisytiharkan mengikut Perkara 150 Perlembagaan ‘tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan,” katanya.

Azalina menarik perhatian Idrus kepada Perkara 43(4) Perlembagaan yang secara jelas menyatakan Jemaah Menteri secara kolektif bertanggungjawab kepada Parlimen.

Katanya, memandangkan Parlimen digantung, malangnya tidak ada cara untuk menguatkuasakan tanggungjawab itu.

Atas sebab-sebab itu serta melihat kepada keadaan darurat semasa, Azalina meminta Idrus mempertimbangkan untuk menasihati kerajaan supaya menggantung tugas-tugas Jemaah Menteri dan menggantikannya dengan pelantikan suatu Jemaah Menteri Khas Darurat yang dianggotai oleh kementerian-kementerian yang berkenaan.

“Jemaah Menteri Khas Darurat ini boleh dibenarkan untuk berfungsi dengan kuasa terhad sehingga darurat ditarik balik.

“Serentak dengan itu, suatu Jawatankuasa Dwipartisan Khas Parlimen yang dianggotai oleh Ahli Parlimen pemerintah dan pembangkang boleh dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat untuk, antara lain, menguatkuasakan tanggungjawab menteri dan menyediakan semak dan imbang yang perlu.”

Azalina, yang juga Ahli Parlimen Pengerang, menghantar salinan surat yang sama kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan; dan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

Surat sama turut dihantar kepada Ketua Whip Kerajaan Perikatan Nasional, Mohamed Azmin Ali; Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Najib Razak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here