KEBEBASAN MEDIA MESTI DIPERTAHANKAN – MAT HASAN

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menjadi antara pemimpin terbaru yang menegaskan mengenai kepentingan kebebasan media dan kebebasan bersuara di negara ini.

Pemimpin nombor dua dalam Umno itu berkata, peranan media sangat penting bagi memastikan proses semak dan imbang dalam sebuah negara demokrasi.

“Kehidupan demokrasi di Malaysia bermakna kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara mestilah dipertahankan.

“Persuratkhabaran bukan sekadar menyebarkan berita dan maklumat sahaja. Tetapi yang jauh lebih penting, ia menyediakan ruang untuk sumbangsaran, kritikan dan semak imbang dalam setiap hal bermasyarakat dan bernegara.

“Ia instrumen penting membantu menyuarakan nurani masyarakat, terutama mereka yang tertindas dan tertinggal atau mereka yang sekadar ingin memberikan pandangan alternatif atau idea baru,” katanya menerusi hantaran di media sosial Facebook.

Semalam Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 6-1 mendapati Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen yang dibuat pembacanya. 

Jabatan Peguam Negara memohon Malaysiakini didenda sebanyak RM200,000 namun panel hakim yang bersidang menetapkan portal berita terbabit didenda sehingga RM500,000.

Bagaimanapun, kutipan sumbangan daripada orang ramai berjaya mengumpul lebih RM500,000 dalam masa kurang lima jam bagi membayar denda berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here