Polis Jumpa Satu Lagi Mayat Reput Berseluar Pendek Di Pantai Kemayan, Bachok

Polis menemukan satu lagi mayat reput yang hanya memakai seluar pendek berwarna gelap tersadai di Pantai Kemayan di sini pada 5 petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok ASP Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata mayat tanpa identiti itu ditemukan orang awam kira-kira dua meter dari gigi pantai berkenaan.

Beliau berkata jantina mayat itu juga sukar dikenal pasti memandangkan keseluruhan badannya telah reput.

 “Pemeriksaan awal mendapati mayat berkenaan meninggal dunia dan berada di laut kira-kira 10 hari lepas,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Yusrizal berkata pihak polis tidak menemui sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan kejadian jenayah dan mayat itu telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk bedah siasat.

Beliau turut meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pada 13 Feb lepas, polis menemukan mayat lelaki reput yang juga hanya berseluar pendek warna gelap terdampar di pesisir Pantai Kuala Kandis dekat sini, dipercayai sudah meninggal dunia 10 hari sebelum itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here