DENDA RM10,000: BAGAIMANA RAKYAT NAK BAYAR

Petaling Jaya, Feb 26-

Aktivis pengguna dan ahli ekonomi berkata, tindakan Putrajaya mengenakan hukuman denda sehingga RM10,000 kepada individu atas kesalahan berkaitan perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah regresif dan menghukum.

Mereka turut mendakwa, ia hanya akan mendorong berlaku lebih banyak rasuah kerana pesalah mungkin akan berusaha mencari ‘jalan keluar’ dengan cara itu.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Jacob George berkata, ia adalah langkah yang mundur bagi negara kerana idea mendenda adalah untuk mendidik masyarakat, dan tidak boleh bersifat menghukum atau berniat jahat.

“Kami menyaksikan dua set undang-undang, di mana menteri dan ahli politik terlepas daripada hukuman. Mereka yang akan didenda hanyalah orang yang tiada kuasa politik.

“Orang seperti Ahmad, Ah Seng dan Arumugam yang berdepan masalah serius ekonomi akan didenda,” katanya, sambil menambah mereka yang tidak dapat membayar denda berkemungkinan akan dipenjara.

 “Kita bukannya dalam situasi hidup dan mati untuk menerapkan undang-undang yang begitu menindas. Mengapa kita melakukan ini? Bagaimana ia boleh dibenarkan? ” soal beliau.

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang baharu, diterbitkan di laman web Warta Persekutuan, membenarkan seseorang didenda sehingga RM10,000 kerana melanggar peraturan PKP.

Peraturan itu, yang berkuatkuasa pada 11 Mac, juga menyatakan syarikat yang melanggar peraturan PKP akan dikenakan denda hingga RM50,000.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Marimuthu Nadason berkata, ini bukan masa yang tepat untuk menaikkan denda kerana ramai orang hilang pekerjaan dan dipotong gaji..

“Kerajaan hari ini perlu menunjukkan rasa sayang dan mendidik rakyat. Adakah mereka cuba membuat orang ramai muflis?” soalnya.

Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, apabila denda dinaikkan secara tidak seimbang, ia akan menjadi masalah kepada golongan berpendapatan rendah.

Beliau menggesa Putrajaya untuk memperbaiki cara berkomunikasi dengan orang ramai supaya mereka lebih peka dengan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here