31 Polis Bakal Dihukum Disyaki Terlibat Macau Scam, Judi Dalam Talian – KPN

Seramai 31 warga Polis Diraja Malaysia yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian bakal berdepan hukuman berat tidak lama lagi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata proses bagi menjatuhkan hukuman ke atas mereka telah dibawa ke pihak Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan seterusnya.

Beliau berkata mereka sebelum ini disyaki terlibat dengan sindiket Macau Scam didalangi Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai Addy Kanna dan Goh Leong Yeong atau Alvin Goh.

 “Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah melengkapkan siasatan dan diserahkan kepada SPP yang dipengerusikan Yang Berhormat Menteri (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudinsendiri.

“Ini kerana kesalahan itu kami anggap sesuatu yang amat serius atas kepentingan orang ramai.  Jadi saya sebagai Ketua Polis Negara telah mengambil tindakan dengan membawanya ke peringkat atasan untuk diadili sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli PDRM Siri 1/2020 di Lapang Sasar Utama, Briged Utara PGA, Hulu Kinta, kira-kira 30 minit dari Ipoh, di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata dibuang kerja, diturunkan pangkat dan dipotong gaji antara hukuman yang boleh dikenakan SPP kepada kesemua pegawai dan anggota berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Goh dan Addy Kanna ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Oktober 2020 selepas didapati menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang menyasarkan mangsa di China selain bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.

SPRM turut menahan serta menyoal siasat beberapa selebriti terkenal, pegawai dan anggota polis yang melindungi sindiket terbabit.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata pihaknya telah menghantar permohonan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya melonggarkan syarat pengambilan Orang Asli ke dalam Pasukan Senoi Praaq termasuk dari segi kelayakan fizikal.

Beliau berkata pihaknya juga akan melakukan rundingan bersama JPA bagi mendapatkan fleksi permohonan Pasukan Senoi Praaq menggunakan kelulusan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding hanya menggunakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini.

 “Kami menerima lebih banyak permohonan daripada mereka yang mempunyai kelulusan SPM walaupun skim perkhidmatan Senoi Praaq ini boleh dimohon dengan menggunakan PMR.

“Ketika ini kami kekurangan anggota dalam Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bidor dan Batalion 18 PGA di Pengkalan Hulu dan ramai kalangan suku kaum Orang Asli menunjukkan minat cukup tinggi dalam PDRM namun terdapat kekangan syarat-syarat kelayakan dan kelulusan,” katanya.

Terdahulu, seramai 76 orang pelatih terdiri daripada pelbagai etnik Orang Asli Semenanjung Malaysia berjaya menamatkan Kursus Asas Konstabel Orang Asli PDRM selama enam bulan, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here