Mungkinkah Warisan sertai BN-Umno untuk PRU15?

Warisan, yang memerintah Sabah sebagai negeri pembangkang selepas pilihan raya umum lalu, mungkin akan beralih kepada parti dan gabungan lain berbanding bekerjasama dengan parti Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya umum akan datang (PRU15), kata penganalisis.

Ini kerana tidak banyak yang boleh ditawarkan Pejuang – yang statusnya masih tergantung akibat pendaftarannya yang ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) – kepada parti Sabah itu dalam usahanya untuk kembali sebagai kuasa besar politik di negara ini.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah Romzi Ationg berkata, spekulasi yang semakin mendapat perhatian adalah Warisan akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN)-Umno pada PRU15.

Beliau berkata, wujud desas-desus dalam kalangan ahli politik bahawa Warisan juga sedang meninjau semula perjanjiannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan dengan itu memerlukan pengganti yang kuat untuk memastikan kelangsungannya sekiranya ia berpisah dengan PH.

“Apa-apa mungkin berlaku dalam politik, tetapi saya rasa tidak elok untuk Warisan memberi tumpuan kepada Mahathir dan Pejuang,” katanya kepada FMT.

“Presiden Warisan Shafie Apdal, yang bersama dengan pemimpin PH Anwar Ibrahim disebut-sebut sebagai calon perdana menteri, harus menumpukan perhatian dalam mengukuhkan cengkaman partinya ke atas Sabah dan juga politik persekutuan dengan bekerjasama dengan parti yang dianggap lebih relevan kepada politik Malaysia.

“Kerjasama politik (yang harus diusahakan Warisan) juga harus mampu menjadikan Sabah sebuah negeri maju setara dengan negeri lain di semenanjung,” katanya.

Romzi mengulas cadangan penganalisis sosiopolitik Azman Awang Pawi bahawa Warisan mungkin akan menyokong Mahathir pada PRU15 kerana “hubungan peribadi” Shafie dengan bekas perdana menteri itu.

Walaupun beliau tidak yakin 100% bahawa Warisan akhirnya akan bekerjasama dengan musuh politiknya kini, Romzi berkata, parti itu mungkin akan lebih suka bekerjasama dengan BN-Umno kerana ia lebih stabil berbanding Perikatan Nasional.

Shafie sendiri adalah bekas naib presiden Umno dan mempunyai ramai kawan rapat dalam kalangan pemimpin Umno.

Romzi berkata, Warisan dan BN-Umno dapat saling melengkapi, dengan Warisan memerlukan sekutu untuk memperoleh lebih banyak kerusi pada PRU15 dan BN-Umno memerlukan parti tempatan yang kuat untuk menolong mengukuhkan kedudukannya di Sabah.

“Kenapakah Warisan akan memilih BN-Umno berbanding PN? Antara sebabnya adalah Umno masih kuat di semenanjung (berbanding PN),” katanya.

Masih belum terjamin sama ada pakatan seperti itu akan wujud kerana timbalan presiden Warisan, Darell Leiking, sebelumnya berkata, partinya tidak mungkin akan bergabung dengan Umno.

Ini susulan dakwaan bahawa ramai Ahli Parlimen daripada parti semenanjung itu dan BN menyokong Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Umno Sabah adalah sebahagian daripada pakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bersama-sama dengan PN dan Parti Bersatu Sabah.

Semalam, ADUN Warisan Hassan A Gani Pg Amir meninggalkan Warisan untuk kembali kepada GRS, yang kini bersekutu dengan kerajaan PN.

Namun, pemerhati politik menganggap hubungan antara Umno Sabah dan sekutu GRSnya meruncing, terutama dengan PPBM Sabah selepas ketegangan mengenai jawatan ketua menteri berikutan pilihan raya negeri tahun lalu.

Umno Sabah membantu GRS memperoleh majoriti tipis 38 kerusi, tetapi menyerahkan jawatan ketua menteri kepada PPBM Sabah, yang menimbulkan kemarahan sejumlah pemimpin Umno.

Timbalan dekan Universiti Sarawak Malaysia Arnold Puyok berkata, kerjasama Warisan dengan BN-Umno mungkin tidak dapat diterima oleh sebilangan penyokongnya.

“Tetapi Warisan harus sedia bekerjasama dengan siapa pun jika ia ingin sekali lagi menjadi pucuk pimpinan,” katanya, sambil menambah, Warisan masih mempunyai pilihan sekutu politik bagi PRU15

Beliau juga berkata, Warisan mungkin akan lebih rugi sekiranya parti itu memihak kepada Mahathir, yang menurutnya adalah individu yang menyebabkan pecah belah di kedua-dua Sabah dan Sarawak.

“Warisan sepatutnya sudah menyedari bahawa Mahathir sedikit sebanyak boleh dipersalahkan atas kejatuhan PH.

“Bagi Warisan, risiko bekerjasama dengan Pejuang jauh lebih besar berbanding manfaat,” katanya.

Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan Romzi dan Puyok, dan percaya bahawa Warisan akhirnya akan memilih untuk mengekalkan pakatan politiknya dengan PH, tetapi bekerjasama dengan Pejuang pada masa yang sama.

“Kerjasama Warisan-Pejuang dapat dilihat sebagai usaha untuk menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Sama ada ia diterima oleh PH adalah isu lain, katanya, tetapi seperti yang terbukti dalam sejarah, apa-apa sahaja mungkin berlaku dalam politik Sabah.      

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here