IBU, TEMAN LELAKI DIDAKWA BUNUH KANAK-KANAK BERUMUR EMPAT TAHUN

Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang juga anak kandung teman wanitanya, bulan lepas.

N Tanabalan, 27, dan teman wanitanya K Puvaneswary, 30, yang kelihatan tenang, menggelengkan kepala apabila ditanya jurubahasa sama ada mereka faham Bahasa Melayu atau tidak di hadapan hakim Effandi Nazila Abdullah, yang bertindak sebagai Majistret.

Kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam kemudiannya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil. Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Tanabalan dan Puvaneswary didakwa dengan niat bersama dengan sengaja membunuh S Dhevanesh di sebuah rumah di Pangsapuri Simfoni, Semenyih, antara 14 Feb dan 18 Feb lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzan Mohd Nor memohon tarikh sebutan sementara menunggu laporan kimia, asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat mangsa.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum prosiding bermula, polis meminta anggota keluarga kedua-dua tertuduh menunggu di luar bagi memastikan mahkamah tidak sesak dan seorang lelaki yang mengaku bapa, S. Sakthivel kepada mangsa dibenarkan mendengar prosiding.

Mereka ditahan selepas kanak-kanak malang itu dibawa ibunya ke Bahagian Kecemasan, Hospital Kajang dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk menerima rawatan dan kanak-kanak itu kemudiannya disahkan meninggal dunia. Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan dan terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here