Janji warga KL dapat beras, bakul makanan hanya indah khabar dari rupa

Sembilan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL) menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) memaklumkan dengan jelas mekanisme pemberian beras dan pengagihan bakul makanan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka menegaskan kelewatan dalam agihan bantuan makanan ruji itu akan menjejaskan keadaan rakyat yang semakin terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Perutusan Perdana Menteri bersempena Hari Wilayah yang berjanji untuk menyumbangkan 5,750 kampit beras secara percuma setiap minggu kepada penduduk dari kumpulan B40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hanyalah indah khabar daripada rupa.

 “Sehingga hari ini rakyat dibiarkan tertanya-tanya bagaimana beras tersebut diagihkan kepada mereka, bagaimana penduduk boleh memohon dan kepada siapa mereka boleh membuat permohonan?” soal wakil rakyat PH.

Sembilan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan KL terbabit ialah Tan Kok Wai (Cheras), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Hannah Yeoh (Segambut) dan Teresa Kok (Seputeh).

Turut bersama Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju), P Prabakaran (Batu), Lim Lip Eng (Kepong) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

Di KL, hanya dua kerusi Parlimen dimiliki kerajaan dari Bersatu iaitu Titiwangsa diwakili Datuk Seri Rina Mohd Harun yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Satu lagi kerusi di Bandar Tun Razak yang disandang oleh Datuk Kamarudin Jaffar yang merupakan Timbalan Menteri Luar Negeri.

Dalam masa sama, kesemua Ahli Parlimen KL mempersoalkan sama ada agihan beras tersebut dilakukan oleh lantikan politik kerajaan PN sehingga menyebabkan bantuan percuma itu tidak sampai kepada penerima yang sepatutnya.

“Selain itu, Program Bakul Makanan berupa pemberian barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah melibatkan peruntukan RM50 juta melalui JKM sehingga kini kelihatan tidak berjalan seperti yang dirancang.

“Walaupun sudah memasuki tiga bulan semenjak pengisytiharan darurat diumumkan, namun rakyat masih tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bakul makanan seperti yang dijanjikan oleh kerajaan PN,” kata mereka.

Sehubungan itu, mereka menegaskan negara ini tidak memerlukan kad laporan prestasi kerajaan PN yang digambarkan indah khabar dari rupa.

Mereka berpendapat itu sekadar sedap dibaca sedangkan rakyat tidak langsung merasai kesannya.

“Atas sebab-sebab inilah Parlimen seharusnya bersidang supaya wakil rakyat boleh mendapatkan jawapan untuk persoalan seperti di atas,” tegas mereka lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here